Kekal Tenang, Kita Patuhi Arahan Kerajaan – Dr Najmil Faiz

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata langkah kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara yang akan bermula pada 1 hingga 14 Jun ini bagi membendung penularan COVID-19.

Katanya, walaupun perlaksanaan langkah ini akan memberikan implikasi besar kepada ramai pihak, kerajaan diharap dapat membantu rakyat pelbagai peringkat dengan pelbagai langkah yang sewajarnya.

“Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan ‘total lockdown’ seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021. Walaupun keputusan ini sukar dan bukanlah mudah untuk dilaksanakan, namun inilah yang terbaik untuk kita semua.

“Saya berharap agar pihak kerajaan akan terus membantu rakyat sepanjang ‘total lockdown’ ini dengan memanfaatkan Ordinan Darurat agar mengarahkan institusi kewangan serta perbankan memberikan moratorium.

“Kerajaan negeri turut perlu memainkan peranan untuk membantu rakyat sepanjang tempoh ‘lockdown’ supaya rakyat mendapat bantuan yang lebih. Usaha ini tidak boleh diserahkan pada kerajaan pusat semata-mata,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu turut berharap semua pihak agar dapat mengetepikan perbezaan politik dan tidak mahu wujudnya isu ‘bantuan terpilih’ dalam agihan kepada mereka yang terjejas… ini soal kelangsungan hidup rakyat.

“Bantuan seperti i-Sinar dan i-Lestari perlu dilaksanakan untuk membantu rakyat. Program Imunisasi COVID-19 perlu dipercepatkan agar kita dapat mencapai imuniti kelompok menjelang bulan Jun apabila Pharmaniaga membekalkan hampir 8.2 juta dos vaksin Sinovac.

“Terima kasih kepada pemimpin UMNO khususnya Datuk Seri Ismail Sabri atau lebih di kenali sebagai Pak Long Mail dan Datuk Seri Dr. Adham Baba yang mendengar keluhan rakyat. Kita kekal tenang dan patuh arahan kerajaan… kita mampu mengharungi ‘lockdown’ ini sekali lagi,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.