Kebimbangan Sultan Johor Perlu Diambil Serius… Perketatkan PKP Tangani COVID-19 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berharap kerajaan mempertimbang untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diambil serius, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, cadangan ini juga sebelum ini telah beberapa kali telah disuarakan oleh para pemimpin UMNO.

“Menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar iaitu kerajaan harus mempertimbangkan lockdown penuh jika jumlah kes jangkitan COVID-19 tiada tanda penurunan.

“Sultan Ibrahim bertitah ‘biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit melarat dan berterusan’

“Saya bersetuju dan menyokong penuh titah Sultan Johor itu. Dan saya yakin majoriti rakyat Malaysia begitu jua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi situasi pandemik ini yang masih gagal ditangani juga membimbangkan Sultan Ibrahim.

“Malah menyebabkan ramai ditimpa kesusahan, barisan hadapan negara juga kian kepenatan dan kegelisahan.

“Saya turut mengambil maklum titah baginda segenap lapisan masyarakat perlu bersikap komited kepada saranan self-lockdown.

“Seluruh rakyat wajar menuruti nasihat baginda kerana ia antara langkah yang dapat memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.

Ahmad Zahid juga turut menjelaskan kerajaan memainkan peranan yang penting bagi membantu rakyat supaya dapat melakukan self-lockdown.

“Rakyat perlu dibantu seadanya supaya dapat duduk tenang di rumah dan tidak perlu ke sana ke sini untuk memastikan keperluan diri dan keluarga.

“Semoga titah baginda Sultan Johor ini mendapat perhatian semua pihak terutama kerajaan Persekutuan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.