Keadaan Terdesak, Perlu Pertimbang Buka Parlimen Demi Demokrasi Negara – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju dan menyokong pandangan serta saranan Ahli Parlimen Pengerang merangkap Timbalan Speaker Dewan, Datuk Sri Azalina Othman Said yang mendesak agar Parlimen Malaysia dibuka dan bersidang.

Ujarnya, beliau tidak pernah melihat satu keadaan yang lebih terdesak dan kritikal berbanding sekarang.

“Pelbagai saranan telah disenaraikan bagi menunjukkan bahawa Parlimen boleh dibuka dan bersidang dengan selamat dalam norma baharu.

“Yang menariknya, saranan tersebut sehingga ke tahap mencadangkan satu peletakan syarat bahawa usul berkenaan sokongan ke atas Perdana Menteri tidak akan dibawa dan dibahaskan sekiranya perkara tersebutlah yang menjadi kerisauan kerajaan,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kata beliau yang juga Ketua Bahagian Pasir Gudang, persidangan Parlimen perlu dilakukan kerana negara ketika ini sedang berhadapan dengan krisis dan darurat kesihatan yang meruncing dalam skala yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

“Tidak wujud tanda-tanda bahawa keadaan akan pulih dalam masa terdekat. Malangnya, Parlimen yang sepatutnya menjadi medium perbahasan dan kerjasama bipartisan boleh pula disekat daripada bersidang.

“Ini adalah satu keputusan dan perkara yang bukan sahaja mencemarkan amalan demokrasi, Tetapi meletakkan seluruh negara dalam keadaan berisiko,” tegas beliau.

Tambah beliau, masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan atau ditutup dengan kenyataan muluk-muluk yang dibuat-buat.

“Kerajaan mesti berhenti berhadapan dengan sebarang krisis dengan cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi.

“Saya percaya semua ahli Parlimen dapat memberikan komitmen dan saranan yang baik ke arah membantu pengurusan krisis ini secara bersama dengan pendekatan yang lebih baik,” katanya.

Semalam, Azalina Othman Said meluahkan kekesalan beliau dengan sikap kerajaan dan menegaskan institusi Parlimen tidak boleh diletakkan sebagai lockdown kerana ianya merupakan proses demokrasi negara. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/05/Persidangan-ParlimenDSKN.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.