Kes COVID-19 7,857:Pemuda UMNO Mohon Kerajaan Pertimbang Total Lockdown 21 Hari

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mohon kerajaan pertimbangkan kembali permohonan majoriti rakyat supaya dilakukan total lockdown 21 hari.

Beliau berkata demikian berikutan kes baharu hari ini meningkat kepada 7,857.

“Sediakan bantuan khas untuk rakyat bagi tempoh tersebut, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan Lanjutan Moratorium selama tiga bulan tanpa caj tambahan,” katanya dalam kenyataan mengenai isu terbabit hari ini.

Terdahulu beliau menjunjung kasih titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam yang menggesa semua lapisan masyarakat agar komited untuk melaksanakan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self-lockdown’ bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Akurlah dengan kebijaksanaan Titah Tuanku: biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan,” katanya.

Hari ini dilaporkan jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini terus menunjukkan peningkatan ketara apabila 7,857 kes direkod dalam tempoh 24 jam lepas, meningkat sebanyak 379 kes berbanding 7,478 semalam.

Jumlah tersebut adalah yang tertinggi sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas, dan menjadikan kumulatif kes sebanyak 541,224. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.