“Tak Buat Apa-apa, Mengaku Bodoh Dan Teruskan Langkah Yang Berkali-kali Terbukti Gagal? Atau…”

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Graf diberi Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Noor Hisham Abdullah hari ini menunjukkan trend kes baharu sebenar COVID-19 jelas mencecah model KKM yang meramalkan kes baharu akan naik ke angka sembilan ribu dalam masa seminggu dua.

Ini bermakna kes baharu berpotensi mencecah sepuluh ribu hingga 12 ribu tidak lama lagi, ulas Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Justeru, kata Najib timbul persoalan adakah kerajaan patut lakukan dua perkara berikut:

“Tak buat apa-apa, mengaku bodoh dan teruskan langkah yang berkali-kali terbukti gagal? Atau;

“Guna pendekatan baharu yang lebih tegas dan berkesan? Soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam satu catatan di Facebook, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada semalam, Selasa untuk seluruh negara adalah 1.20.

Sehubungan itu tegas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, tanggungjawab kerajaan bukan sekadar memberi amaran kepada rakyat sahaja untuk bersedia hadapi keadaan paling buruk seperti amaran mengejut Dr Noor Hisham semalam.

“Sebaliknya, tanggungjawab dan amanah diberi kepada kerajaan ialah untuk menghalang keadaan yang menjejaskan kesihatan, kesejahteraan dan nyawa rakyat dari menjadi paling buruk,” tegasnya.

Semalam dalam twit di Twitternya, Dr Noor Hisham menggesa orang ramai supaya bersedia untuk menghadapi keadaan paling buruk berikutan peningkatan graf jangkitan kes COVID-19 yang tinggi di Malaysia ketika ini.

Untuk rekod, kes COVID-19 semalam merupakan angka tertinggi sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas iaitu sebanyak 7,289 kes. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.