Kesukaran Daftar Vaksin AstraZeneca Perlu Diatasi Segera, Gesa Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Media sosial dihujani rungutan tentang kesulitan pendaftaran online bagi mendapatkan suntikan AstraZeneca 2.0, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, ada yang terpaksa mengaku diri bukan robot sehingga berpuluh kali sejak pukul 12 tengah hari, tetapi masih gagal membuat pendaftaran.

“Ada yang tidak dapat memilih negeri. Paling teruk ada yang langsung tidak dapat akses kepada pendaftaran dalam talian tersebut.

“Perkara ini perlu diatasi segera. Dalam keadaan rakyat bersemangat mendapatkan vaksin COVID-19, jangan lunturkan semangat mereka.

“Pada waktu rakyat digesa demi gesaan supaya mendapatkan AstraZeneca suntikan, permasalahan seperti ini sama sekali tidak membantu,” tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menerusi satu catatan di Facebook.

Justeru Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menasihati rakan-rakan semua jangan ‘merajuk’.

“Jangan ‘patah hati’ dan putus asa untuk terus mahu mendapatkan suntikan vaksin pula.

“Kita tunggu penjelasan atau perutusan ruang bicara khas kerajaan. Semoga ada penyelesaian secepat mungkin,” katanya lagi.

Bermula jam 12 tengah hari tadi, kerajaan telah membuka slot tempahan kepada individu bawah 60 tahun bagi pusingan kedua vaksin AstraZeneca secara dalam talian melibatkan penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Kuching dan Miri di Sarawak serta Johor.

Kerajaan menawarkan lebih sejuta vaksin tersebut dan ianya habis ditempah dalam tempoh sejam.

Sebelum ini, pendaftaran pusingan kedua vaksin Astra Zeneca bermula 23 Mei hanya dibuka kepada golongan lebih 60 tahun. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.