Pemuda UMNO Pasir Gudang Tawar Khidmat Pengangkutan Percuma Ke PPV

PASIR GUDANG, 24 Mei – Dalam usaha untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal serta terkecuali daripada menerima suntikan vaksin COVID-19 yang disediakan oleh kerajaan, Pemuda UMNO Pasir Gudang mengambil inisiatif untuk menyediakan khidmat pengangkutan percuma ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Kata Ketuanya Noor Azleen Ambros, usaha ini diambil setelah menyedari akan kekangan dan permasalahan sebahagian daripada masyarakat yang mungkin berdepan dengan soal pengangkutan untuk ke PPV.

“Kumpulan sasar seperti warga emas, golongan kelainan upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan dibimbangi tidak dapat memenuhi temujanji bagi mendapatkan vaksin di PPV yang telah ditetapkan atas masalah pengangkutan.

“Ini akan menyebabkan mereka tertinggal dan terlepas peluang untuk mendapatkan vaksin, lebih-lebih lagi kumpulan ini merupakan mereka yang berisiko tinggi serta mudah terdedah dengan risiko jangkitan COVID-19.

“Untuk itu, khidmat pengangkutan percuma ini akan memberi keutamaan kepada golongan tersebut dalam memastikan mereka dapat memenuhi temujanji dan sampai ke PPV, sekaligus mendapat suntikan vaksin masing-masing pada masa dan ketentuan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini di sini.

Jelasnya lagi, Pemuda UMNO Pasir Gudang juga mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi melindungi pemandu dan penumpang dengan menetapkan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Hanya pemandu yang telah disahkan negatif melalui saringan COVID-19 dibenarkan untuk membawa penumpang ke PPV melalui khidmat ini. Kenderaan yang bersih dan sentiasa disanitasi juga disediakan, selain pemandu mestilah memakai pelitup dan perlindung muka sepanjang masa.

“Bagi penumpang pula, maksimum dua orang sahaja dibenarkan dari kediamaan yang sama selain memastikan penumpang juga memakai pelitup muka sepanjang berada dalam kenderaan,” katanya.

Justeru, Noor Azleen berharap usaha yang dijalankan itu dapat membantu kerajaan dalam mencapai matlamat untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity).

“Selain diharap menyumbang kepada usaha kerajaan untuk memastikan tidak ada golongan yang terkecuali daripada menerima vaksin COVID-19.

“Inisiatif ini juga diharap menyumbang kepada usaha untuk memastikan tidak berlaku isu ‘vaccine inequity’, khususnya dalam kalangan kumpulan sasar yang berkenaan,” ujarnya lagi.

Kepada sesiapa yang berminat dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pemuda UMNO Pasir Gudang itu bolehlah menghubungi Khairul Anuar di talian 012-785 4670 dan ia adalah khusus untuk penduduk di kawasan tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.