Jalaluddin Cadangkan Kerajaan Tambah PKRC Di Negeri-negeri Kritikal

JELEBU, 24 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jalaluddin Alias mencadangkan agar Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) baharu dibuka di kawasan-kawasan yang dijangka berlaku lonjakan kes baharu untuk tempoh jangka masa pendek ini.

Cadang Ahli Parlimen Jelebu itu, jika masalah kekurangan tenaga barisan hadapan di kawasan-kawasan yang berkenaan, hendaklah dibuka permohonan untuk sukarelawan membantu di PKRC baharu yang akan dibuka.

“Mereka ini mungkin boleh terdiri daripada kakitangan hospital swasta, graduan lepasan medik yang masih belum bekerja atau sesiapa sahaja yang dirasakan layak dan boleh membantu. Berilah mereka sedikit elaun harian. Sekurang-kurangnya dapat juga membantu mereka yang mungkin masih menganggur.

“Beri insentif galakan berbentuk potongan cukai kepada mana-mana hospital dan klinik swasta yang meminjamkan kakitangan mereka untuk membantu di PKRC.

“Beri juga insentif galakan kepada mana-mana pemilik premis atau gudang bersesuaian yang secara sukarela hendak memberikan tempat mereka bagi dijadikan PKRC sementara,” katanya dalam satu kenyataan.

Jalaluddin juga berkata setakat 21 Mei 2021, sebanyak 119 PKRC COVID-19 telah dibuka diseluruh negara dan bilangan katil yang tersedia pula adalah sebanyak 25,447 buah katil.

“Jika dilihat kepada peratusan keseluruhan di peringkat nasional, peratusan penggunaan katil di PKRC adalah 53%.

“Namun begitu, jika dilihat secara lebih terperinci, banyak PKRC yang kini telah berhadapan dengan penggunaan katil yang sangat tinggi,” ujarnya.

Ulasnya lagi, daripada 119 PKRC di seluruh negara 18 PKRC sudah mencapai 91% ke atas penggunaan katil, 4 PKRC sudah mencapai 81% ke 90% penggunaan katil, 14 PKRC sudah mencapai 71% ke 80% penggunaan katil dan 11 PKRC sudah mencapai 60% ke 70% penggunaan katil.

“Secara keseluruhannya terdapat 47 buah PKRC yang kini telah mencapai kapasiti penggunaan katil 60% ke atas. Dengan kes-kes baharu yang melebihi 6000 kes untuk beberapa hari ini, pastinya banyak PKRC yang tidak mampu menampung kemasukan kes-kes baharu.

“PKRC yang terlalu padat juga akan menyebabkan ‘frontliners’ kita mudah kepenatan dan akan ‘burn out’,” katanya.

Tambahnya lagi, jika tiada pilihan kawasan yang bersesuaian untuk dibuat PKRC, kerajaan perlu bina Hospital Medan dengan Kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di kawasan-kawasan yang kes positif baharu sudah terlalu banyak atau berdepan dengan ancaman ‘super spreader’.

“Kita bukan mengharapkan perkara yang buruk, tetapi kita perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi keadaan yang buruk. Dengan trend kes baharu ketika ini, sudah pasti hospital-hospital sedia ada tidak akan mampu menampung kemasukan yang tinggi.

“Jika hospital penuh, PKRC di kawasan tersebut penuh, saya tidak rasa kuarantin secara kendiri di rumah adalah satu pilihan yang baik,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.