COVID-19 Makin Serius… Sampai Bila Keadaan Ini Akan Berlarutan? – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi meluahkan kebimbangan beliau dengan peningkatan angka kes baharu COVID-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda ke arah pemulihan.

Katanya, beliau kasihan melihat petugas barisan hadapan negara yang bertungkus-lumus melakukan sebaik mungkin membantu rakyat sejak bermulanya penularan wabak ini pada tahun lalu.

“Situasi semakin tenat dan serius. Tambahan pula setiap hari kehadiran orang ramai yang berbaris panjang bagi melakukan pemeriksaan COVID-19 di dewan serta stadium tidak pernah berkurangan.

“Laporan harian COVID di negara kita sentiasa menunjukkan angkat yang tinggi. Adakah mahu menunggu 10,000 kes sehari baru kita mahu mengatakan ia parah? Lebih baik membendung daripada teruk di kemudian harian.

“Sehingga bila kita mahu hidup dalam keadaan begini. Simpati pada barisan hadapan negara. Lebih setahun mereka berpenat lelah. Kesian pada doktor, jururawat, polis dan lain-lain. Pengorbanan mereka begitu tinggi. Terpaksa ketepikan keluarga dan tidak boleh meraikan Aidilfitri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, perkara yang paling penting pada ketika ini adalah keadaan kesihatan rakyat yang semakin hari semakin terancam.

Jelas beliau, meskipun ada dalam kalangan rakyat termasuk peniaga meminta agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak dilaksanakan namun bagi beliau memikirkan nyawa itu lebih penting.

“Buat masa ini utamakan kesihatan dahulu. Tidak lama, hanya sebulan atau dua bulan. Bersabarlah. Apabila situasi kembali stabil rancakkan semula sektor ekonomi. Jadikan PKP 1.0 sebagai ‘role model’ terbaik.

“Pemuda UMNO beberapa hari lalu mencadangkan pelaksanaan PKP penuh dengan tujuh inisiatif. Ia melibatkan bantuan khas kepada golongan B40 yang tidak bergaji tetap, pengeluaran I-Sinar 2.0 dan I-Lestari 2.0 serta penutupan seketika kilang yang menjadi penyumbang terbesar pandemik.

“Apa yang penting sektor yang menjadi penggerak negara dibenarkan iaitu yang melibatkan air, elektrik, tenaga, komunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan pembekalan makanan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.