Kegagalan Kerajaan PN Tangani COVID-19 : Tidak Patut Ada Pihak Cuba ‘Menjebak’ Parti UMNO

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan walaupun beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO sedang menganggotai kerajaan Perikatan Nasional (PN) namun ia tidak pernah bermaksud yang parti UMNO terlibat dalam menentukan dasar-dasar negara.

Menurut beliau perkara berkenaan wajar diperjelaskan sekali lagi supaya semua lebih terang dan faham.

“Saya difahamkan ada usaha untuk memalitkan parti UMNO dengan kegagalan kerajaan PN. Saya fikir perkara ini wajar diperjelaskan sekali lagi supaya semua lebih terang dan faham.

“Benar terdapat beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO sedang menganggotai kerajaan PN. Namun ia tidak pernah bermaksud yang parti UMNO terlibat dalam menentukan dasar-dasar negara.

“Segala ketetapan untuk negara sebaliknya dibuat sepenuhnya oleh kerajaan PN. Ini termasuklah tentang dasar-dasar berkait pengurusan pandemik COVID-19 di negara ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah beliau penentuan dasar negara malah menjadi hak mutlak kerajaan PN sejak Ordinan Darurat dilaksanakan iaitu tatkala institusi Parlimen digantung atas sebab-sebab yang masih dimusykilkan.

“Justeru tidak patut ada pihak cuba ‘menjebak’ parti UMNO dengan kegagalan kerajaan PN menangani penularan COVID-19.

“Adalah tidak adil apa sahaja kegagalan kerajaan PN cuba dikaitkan dengan parti UMNO. Gara-gara beberapa Ahli Parlimennya menerima tawaran menganggotai kerajaan PN.

“Bagaimanapun itu tidaklah pula bermaksud parti UMNO tidak mempedulikan nasib rakyat. Banyak pandangan UMNO tujukan kepada kerajaan PN melalui platform bukan Parlimen sebelum ini,” ujarnya.

Malangnya kesal Ahmad Zahid, kebanyakan pandangan dan nasihat tentang COVID-19 itu kurang diberi perhatian.

“Mengapa jadi begitu saya fikir semua boleh mengandaikan sebabnya. Apapun kita terus berdoa yang baik-baik untuk rakyat dan negara dalam berdepan ancaman COVID-19,” ujarnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.