Segerakan ‘Total Lockdown’ Bersama Pakej Bantuan ‘Lockdown’ Untuk Rakyat- Norliza Rahim

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mengesyorkan supaya Kerajaan menyegerakan pelaksanaan ‘Total Lockdown’ bersama pakej bantuan ‘Lockdown’ untuk rakyat demi kelangsungan ekonomi keluarga dan komuniti niaga, tegas Ketua Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Ujarnya, beliau mengikut rapat mengenai cadangan pelbagai pihak untuk pihak kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh atau ‘Total Lockdown’ sepenuhnya.

Jelas beliau, hal ini berbangkit sejak gelombang ketiga wabak COVID-19 melanda negara, namun pihak kerajaan masih tidak mempertimbangkan untuk melaksanakannya berikutan kebimbangan mengenai kesan ekonomi dan kebajikan rakyat yang masih tertekan menghadapi penularan pandemik ini yang memasuki tahun kedua.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan PKP 2.0 dan PKP 3.0 tidaklah setegas PKP 1.0 dan mengelirukan rakyat serta dilihat tidak terkesan, malahan memperlihatkan kadar kes baharu dan kematian akibat COVID-19 semakin meningkat saban hari termasuklah terkini yang telah mencecah lebih 6,000 kes sehari.

“Para petugas barisan hadapan semakin tertekan dan keletihan, rakyat semakin keperitan menanggung pelbagai masalah, kadar pengangguran akibat kehilangan kerja semasa pandemik semakin meningkat dan pelabur semakin kehilangan kepercayaan untuk melabur di negara kita. Kombinasi pelbagai masalah yang wujud akibat pandemik ini menjadikan Malaysia hampir kehilangan arah dalam peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Seterusnya tambah beliau lagi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Wanita BN Pulau Pinang juga menuntut supaya pihak kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan ‘Total Lockdown’ sekurang-kurangnya antara 14 ke 21 hari dengan syarat-syarat seperti berikut:

a)Pengumuman “Total Lockdown” haruslah melalui pengumuman rasmi oleh YAB Perdana Menteri sendiri dan bukannya diumumkan oleh seorang menteri.

b)Mempertimbangkan kebenaran pengeluaran I-Sinar 2.0 dan I-Lestari 2.0.

c)Memastikan pihak institusi kewangan dan perbankan serta pemberi kredit melaksanakan Moratorium tanpa syarat selama 3 hingga 6 bulan.

d)Pemberian bantuan kewangan khas “Lockdown” untuk setiap rakyat.

e)Larangan Rentas Daerah dan Negeri dikekalkan sepanjang PKP.

f)Memastikan kebajikan dan kesihatan mental petugas barisan hadapan sentiasa dijaga rapi.

g)Menambahbaik perlaksanaan Program Pemberian Vaksin COVID-19 dengan mempercepatkan vaksinasi di negeri-negeri paling tinggi kadar kes COVID-19 dan memastikan stok vaksin berada dalam kadar yang baik.

h)Memastikan kilang-kilang yang menyumbang kadar jangkitan COVID-19 tinggi ditutup selama tempoh PKP.

i)Memastikan semua sektor ditutup kecuali sektor-sektor penting.

j) Memastikan operasi perniagaan dihadkan tempoh berniaga termasuk pusat beli belah – cadangan waktu perniagaan antara jam 10 pagi hingga 2 petang.

k) Memastikan Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara menjadi zon bebas COVID-19.

“Adalah lebih baik kita mendepani ‘Total Lockdown’ kali ini yang mana kaedah yang telah dimaksudkan tadi telah diguna pakai di kebanyakan negara luar dan ternyata berkesan untuk mengurangkan kadar jangkitan COVID-19.

“Benar… ‘Total Lockdown’ ini akan memberi kesan namun ianya tetap perlu dilaksanakan demi kelangsungan kehidupan yang lebih baik,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.