Peningkatan Kes COVID-19 Di Selangor Perlukan Tindakan Pro Aktif – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari berkata peningkatan kes COVID-19 yang dilihat tidak menurun di Selangor memerlukan suatu tindakan pro aktif melibatkan Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih menyeluruh seperti PKP 1.0 perlu dilaksanakan bagi melandaikan kes sebelum ia mencecah lima angka.

“Sesungguhnya kita sedar ekonomi itu penting namun yang menggerakkan sektor tersebut adalah manusia walaupun kita mempunyai gajet dan mesin secanggih mana pun.

“Satu lagi isu vaksin, pendaftaran di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu diselaras dengan sistematik.

“Rakyat jadi pelik apabila timbul kes scam atau penipuan vaksin melibatkan sebuah kerajaan negeri,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

Persoalannya,kata beliau lagi mengapa pengagihan dan perolehan vaksin seakan dibuat secara individu sedangkan PICK perlu didahulukan untuk semua rakyat dan
adakah disebabkan sesuatu pihak mempunyai sumber kewangan mereka boleh mendapat vaksin mendahului pihak lain.

Seterusnya kata beliau lagi, sewajarnya pengagihan vaksin diuruskan pihak Menteri Penyelaras PICK iaitu Khairy Jamaluddin sahaja dan jangan banyak campur tangan pihak luar tidak kira apa kedudukan mereka sekalipun.

“Dalam suasana pandemik COVID-19 semua pihak perlu bersikap tenang dan tidak tuding menuding jari untuk menutup kelemahan masing-masing.

“Rakyat perlukan vaksin untuk terus hidup, semoga PICK berjalan lancar tanpa gagal,” tegasnya -UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.