UMNO Doakan Keamanan Palestin & Keselamatan Rakyat Malaysia Hadapi COVID-19

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Bacaan Yaasin dan doa selamat untuk Palestin dan rakyat Malaysia dalam mendepani pandemik COVID-19 yang dilaksanakan secara maya (Webex) membabitkan kepimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berlangsung lancar, hari ini.

Program anjuran Ibu Pejabat UMNO Malaysia yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online dengan melibatkan penyertaan dari para pemimpin parti iaitu ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Dalam ucapan ringkas sebelum bacaan Yassin, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa UMNO bersama-sama rakyat Malaysia sentiasa menyokong perjuangan Palestin.

“Kita tidak mahu dasar dua negara dibentuk sebaliknya Palestin mesti diiktiraf sebagai sebuah negara. UMNO cuba untuk membantu sekurang-kurangnya dari segi moral dan sokongan yang tidak pernah henti,” katanya.

Bacaan Yassin dan doa selamat secara maya ini telah dipimpin oleh Pengerusi Biro Agama UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Antara lain, bacaan Yassin dan doa selamat ini adalah bersempena ulang tahun UMNO ke-75 iaitu menyamai perayaan Jubli Intan.

“Sempena ulang tahun UMNO ke 75, semoga Allah SWT angkat martabat perjuangan UMNO ke persada negara,” kata Jamil Khir sebelum memulakan bacaan surah Yassin.
Bacaan Yassin tersebut juga turut dihadiahkan kepada Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Allahyarham Datuk Seri Rizuan Ab Hamid yang telah meninggal dunia malam tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sebelum mengakhiri acara tersebut, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan dan berterima kasih dengan penglibatan semua pihak dalam menunjukkan keprihatinan a kepada masalah Palestin dan masalah COVID-19 yang dihadapi.

Beliau juga berharap agar apa yang dilakukan pada hari ini akan ada kesinambungan pada masa akan datang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.