Palestin: Amat Malang Jika Malaysia Tidak Hasilkan Ketetapan Rasmi Di Parlimen – Shabery Cheek

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Semalam diadakan sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sedang berusaha untuk mengeluarkan pernyataan bagi mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Gaza.

Berhubung hal tersebut, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek berkata walaupun kerajaan Malaysia sudah nyatakan pendiriannya, namun alangkah baiknya sekiranya Parlimen turut bersidang.

“Alangkah baiknya sekiranya Parlimen kita turut menyatakan pendirian bersama merangkumi semua parti-parti politik mengenai isu ini,” katanya yang menonton Perhimpunan Agung Khas PBB mengenai Palestin dengan banyak negara menyatakan pendirian mereka.

Ujarnya, banyak kaedah boleh dilakukan sekiranya kerajaan enggan mengadakan sidang khas Parlimen secara nyata.

“Amat malang sekiranya Malaysia yang selama ini dianggap penyokong kuat Palestin tetapi kali ini tidak boleh menghasilkan sebarang ketetapan rasmi yang dipersetujui bersama oleh Parlimen kita,” katanya menerusi hantaran di facebooknya berkaitan isu terbabit.

Sejak 10 Mei, serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sudah meragut 227 nyawa termasuk 64 kanak-kanak, dan mencederakan 1,620 yang lain manakala ribuan penduduk hilang tempat tinggal, kata pihak berkuasa Palestin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.