Dividen LTAT Jadi Bukti  Beza Menteri UMNO Dengan Menteri PH – Najmil

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Mohamed Aris berpandangan amat jelas perbezaan antara menteri Barisan Nasional (BN) sebelum ini dengan Pakatan Harapan (PH) setelah mereka mengambil alih kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Hal demikian jelas Najmil dapat dibuktikan dengan pengisytiharan dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mencatatkan peningkatan kepada 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, berbanding dengan 2.5 peratus pada tahun 2019 ketika dibawah pentadbiran Menteri PH.

“Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan peningkatan dividen kepada 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, berbanding dengan 2.5 peratus pada tahun 2019.

“Walaupun berdepan cabaran kelembapan ekonomi kerana COVID-19, LTAT di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu mencatatkan untung bersih yang tinggi mencecah RM229 juta. Ketika zaman sebelum itu, dividen LTAT hanyalah 2.5 peratus dengan untung bersih RM91.7 juta pada 2019,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Itu pun kata Najmil lagi selepas mereka menjual aset strategik LTAT seperti Hotel Royal Chulan milik Boustead yang dijual kepada Singapura dengan harga rendah dari pasaran.

“Yang mereka tahu hanyalah menyalahkan kerajaan BN kononnya pentadbiran kerajaan lepas menyebabkan prestasi kewangan LTAT buruk. Sebab itulah perlunya perancangan strategik untuk memulihkan kewangan dan perkara ini dapat dilakukan pada peringkat negara jika kerajaan BN memerintah. Menteri BN membina negara, Menteri PH meranap negara. Itulah beza antara BN dan PH,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.