Tunai Solat Jumaat Jadi Dilema Besar Umat Islam Negara Ini… Ahmad Zahid Ketengahkan Semula Cadangannya

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Berikutan tular beberapa kes vandalisme akibat ketidakpuasan hati segelintir individu melibatkan prosedur operasi standard (SOP) di masjid, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia menunjukkan urusan menunaikan solat Jumaat antara dilema besar yang dihadapi umat Islam di negara ini.

Malah katanya, dilema urusan solat Jumaat jauh lebih besar daripada dilema urusan membeli belah di pasar raya semasa pandemik COVID-19.

Justeru, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu ketengahkan semula cadangannya sebelum ini berhubung pelaksanaan solat Jumaat semasa pandemik COVID-19 dan berharap agar kali ini ia diberi perhatian pihak berwajib serta tiada lagi bangunan masjid diconteng atau pagar masjid ditendang.

“Pada 23 Januari 2021 saya pernah memberi beberapa cadangan bagi membolehkan lebih ramai umat Islam negara ini menunaikan solat Jumaat terutama pada waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Saya fikir cadangan itu kekal relevan dalam keadaan negara kini memasuki fasa ketiga PKP (PKP 3.0).

“Perkara pertama saya sentuh dalam cadangan itu sebelum ini adalah tentang syarat sah solat Jumaat iaitu tempat mendirikan solat Jumaat hendaklah di suatu tempat yang seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.

“Justeru, saya telah mencadangkan solat Jumaat turut dibenarkan diadakan di dewan, padang, surau yang banyak tersedia di sesebuah kawasan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Dengan demikian jelas Ahmad Zahid, lebih banyak alternatif buat penduduk dan golongan pekerja untuk menyertai solat Jumaat di kawasan masing-masing.

“Bagaimanapun dengan pematuhan SOP yang ketat sebelum, semasa dan selepas solat serta penetapan had maksimum Jemaah yang dibenarkan. Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri boleh menghantar atau melantik khatib dan imam untuk mengetuai solat Jumaat di lokasi terbabit.

“Selain itu, saya turut mencadangkan diwujudkan sistem ‘online’ untuk orang ramai mendaftar tempat solat Jumaat. Ini supaya mereka dapat memilih lebih awal tempat untuk menunaikan solat Jumaat di banyak lokasi yang telah tersedia di kawasan mereka.

“Anggota RELA boleh diminta membantu memastikan pematuhan SOP dan semakan pendaftaran masuk di setiap kawasan solat Jumaat. Seperti saya nyatakan sebelum ini, mungkin ini antara norma baharu yang perlu kita lalui dalam menunaikan solat Jumaat pada waktu-waktu sukar begini,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Berhubung dengan kes contengan ‘masjid kroni’, Ahmad Zahid berkata ia tidak perlu diulas mengapa ia berlaku kerana percaya ramai telah membaca tentang kisah solat Jumaat di sebaliknya.

“Kita juga dikejutkan dengan insiden seorang lelaki menendang pagar masjid kerana berang tidak dibenar menunaikan solat Jumaat baru-baru ini.

“Lelaki itu telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Pihak masjid tersebut juga telah memberikan jawapan dan mengambil tindakan di atas apa yang telah berlaku di masjid mereka,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.