Muafakat Nasional Selangor Kutuk Keganasan Israel, Desak Kerajaan Negeri Tidak Berpolitik Hadapi COVID-19

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Muafakat Nasional Negeri Selangor mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan regim haram Israel ke atas rakyat Palestin sehingga mengakibatkan kemusnahan hartabenda dan kehilangan nyawa bermula dari penghujung Ramadan lalu sehinggalah ke hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama MN Selangor iaitu Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata MN Selangor mendesak kerajaan Malaysia agar bertindak lebih agresif terhadap regim berkenaan bersama negara-negera Islam yang lain.

Katanya, segala bentuk bantuan dan pertolongan perlulah disalurkan segera ke bumi Palestin untuk meringankan kesengsaraan rakyatnya selain membantu membangunkan semula tanahair mereka yang hampir musnah dikerjakan oleh regim haram itu.

“Semua pihak sepatutnya mengenepikan perbezaan dalam membela kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin ini sama ada di Tebing Barat mahupun di Gaza dengan bersatu berdiri sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bermaruah.

“Tindakan salah seorang pemimpin PH (Pakatan Harapan) Selangor dari Dap yang menganggap keprihatinan negara terhadap perjuangan rakyat Palestin sebagai tindakan yang ‘bodoh’ sangat dikesali dan sesungguhnya mencerminkan kepada rakyat betapa tiada akhlak dan biadapnya mereka ini yang sewajarnya ditolak rakyat pada masa depan,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, MN Selangor turut merakamkan kebimbangan terhadap meningkatnya kes jangkitan COVID-19 dalam negara khasnya di negeri Selangor.

“Angka 2,251 kes baru di negeri Selangor sahaja pada 19 Mei iaitu rekod tertinggi dalam negara membuktikan betapa lemahnya pengurusan kerajaan negeri Selangor di bawah PH. Walaupun Selangor merupakan salah sebuah negeri termaju di Malaysia dengan memilik kemudahan asas yang terbaik dan PBT(Pihak Berkuasa Tempatan) yang serba lengkap dan mewah namun gagal dalam mengawal pandemik ini sehingga mengancam keselamatan rakyatnya.

“Kerajaan Negeri PH Selangor dilihat lebih cenderung berpolitik dengan menuding jari dan menyalahkan kerajaan Persekutuan sedangkan mereka sepatunya berkerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan menggerakkan semua kemudahan dan sumber negeri yang ada demi menghadapi pandemik ini,” katanya lagi.

Malah jelas beliau, antara Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) dan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) sendiri pun kelihatan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah sesama sendiri lantaran ghairah ‘bermain politik’.

“MN Selangor menyeru kerajaan negeri agar lebih fokus dan bertanggungjawab selain berkerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Persekutuan agar penularan wabak ini dapat diuruskan dengan lebih baik dan rakyat negeri Selangor dapat keluar dari kepompong kebimbangan ini.

“MN Selangor juga merayu agar rakyat negeri ini mematuhi dan mengamalkan sepenuhnya SOP (Prosedur Operasi Standard) yang diperkenalkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan sentiasa mengamalkan norma baru dengan harapan Allah SWT membantu kita keluar dari krisis yang cukup membimbangkan ini,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.