Doa Senjata Umat Islam Lumpuhkan Zionis… Mohon Kekuatan Rakyat Gaza – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Doa merupakan senjata utama umat Islam di seluruh dunia bagi memberikan kekuatan kepada rakyat Gaza yang ketika ini masih berdepan serangan demi serangan daripada tentera Israel, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, meskipun pelbagai tekanan emosi dan fizikal yang dilakukan rejim ini namun berpegang kepada keimanan, umat Islam di bumi suci itu masih lagi kekal bertahan demi perjuangan memerdekakan tanah air mereka.

“Wahai rejim Zionis Israel, kami tahu kamu ego dengan kekuatan senjatamu, tetapi doa merupakan senjata utama kami umat Islam.

“Benar kamu ada kekuatan untuk menzalimi tubuh umat Islam Palestin, tetapi kamu tidak sesekali dapat menyakiti iman mereka.

“Dan mungkin kerana itu kamu rejim Zionis kelihatan sangat mudah ‘koyak’ dan seakan-akan ‘hijau’ kerana kamu tidak pernah menang melawan keimanan umat Palestin sejak menjajah tanah mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut sama berkongsi sebuah video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan yang berhadapan detik pengeboman di rumahnya.

“Menonton rakaman video ini malam tadi betapa hati teramat kecewa. Jiwa diselubungi amarah. Sanubari merintih sedih dan pilu.

“Dengan kalimah Lailahaillallah kita bertaqwa dan terus memohon kepada Allah agar dilindungi seluruh rakyat Palestin, kalimah Lailahaillallah kita bertaqwa dan terus memohon umat Islam Palestin beroleh keselamatan.

“Anak kecil dalam rakaman video itu buktinya. Malulah kamu wahai rejim zionis Israel ‘tewas’ dengan anak perempuan sekecil itu,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga turut menitipkan doa buat rakyat Gaza yang ketika ini masih lagi berdepan kekejaman dan kezaliman Zionis ini.

“Ya Allah ya Tuhanku jahanamkanlah rejim Zionis yang telah membunuh saudara-saudara kami kaum muslimin di Palestin. Ya Allah ya Tuhanku binasakanlah kekuatan rejim ini dan mereka yang membantu menyakiti umat-Mu di Palestin.

“Ya Allah ya Tuhanku selamatkanlah saudara-saudara kami kaum muslimin di Palestin. Keluarkanlah mereka daripada segala kesukaran yang mereka sedang alami saat ini.

“Terimalah syuhada mereka dan sembuhkanlah yang luka dan sakit dalam kalangan mereka. Tiada daya dan kekuatan bagi mereka kecuali dari-Mu ya Allah yang Maha Besar,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline