Ada Gerakan Lantik Ketua Pengarah JAKOA Bukan Daripada Orang Asli – Ramli

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Ada pihak yang mahukan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) diberikan kepada individu yang bukan berasal daripada keturunan Orang Asli, tegas Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

Katanya, keadaan ini tidak seharusnya dibiarkan berlaku kerana jawatan itu secara tradisinya sebelum ini dilantik dalam kalangan rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

“Ketika ini ada jawatan kosong setelah penyandangnya Prof Dr Juli Edo seorang Orang Asli Semenanjung Malaysia menamatkan kontraknya pada bulan April lepas.

“Telah sampai maklumat ke pengetahuan saya bahawa ada gerakan oleh para pegawai dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mencatur dan berusaha agar jawatan tersebut tidak di sandang oleh rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jelas Ramli, sebagai ahli Parlimen tunggal berketurunan Orang Asli, beliau berharap kerajaan Perikatan Nasioanal (PN) dapat bersikap dengan lebih adil berkenaan isu ini.

“Saya menyarankan dan menegaskan agar kerajaan PN bersikap bukan sahaja adil dan saksama di dalam pelantikan jawatan Ketua Pengarah JAKOA Malaysia.

“Saya mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan little napolean birokrasi kerajaan di dalam KPLB ini,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan sudah termaktub bahawa jawatan ini harus diberikan kepada individu daripada berketurunan Orang Asli.

“Dengan ini juga saya mengambil kesempatan mengingatkan pegawai kerajaan bahawa dengan jelas isi kandungan perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan Malaysia berkaitan kuota di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia wajib di beri kepada masyarakat Orang Asli Malaysia.

“Seseorang yang berkelayakan termasuklah juga dengan jawatan Ketua Pengarah JAKOA ini,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.