Pemuda UMNO Rancang Anjur Forum Antarabangsa Bersama 34 Negara Mengenai Nasib, Masa Depan Palestin

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia / Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan pemuda-pemuda parti-parti politik daripada 34 negara lain untuk mengusahakan penganjuran satu Forum Antarabangsa Mengenai Nasib dan Masa Depan Palestin.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dijangka pada Khamis ini ia akan dilaksanakan.

“Insya-Allah 20hb ini pimpinan-pimpinan sayap pemuda parti-parti setakat ini daripada 34 Negara sudah menyatakan persetujuan akan sepentas melalui saluran Youtube dan Facebook,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambahnya lagi, apa sahaja usaha untuk menyampaikan mesej kepada dunia terutama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kuasa-kuasa besar mengenai isu Palestin amat penting.

Katanya lagi, ia bagi menzahirkan solidariti masyarakat dunia terhadap nasib Palestin yang berterusan ditindas, diperkosa hak mereka dan diperkotak-katikkan di tanah air sendiri oleh penjajah Regim Israel. – UMNO ONLINE