Lawan COVID-19 Mesti Ada Ketelusan Dan Akauntabiliti, Tegas Dr Puad

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Perlu ada ketelusan dan akauntabiliti dalam perang melawan COVID-19, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ujarnya, rakyat perlu maklumat tepat dan suara rakyat perlu didengar.

“Justeru, Parlimen mesti bersidang segera. YDP (Yang di-Pertuan) Agong sudah bertitah Parlimen boleh bersidang ketika darurat. Bila PM (perdana menteri) 8 nak bagi tarikh? Soal Dr Puad dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.

Dr Puad memberi respon demikian merujuk kepada statistik bahawa semalam sahaja terdapat 45 kematian di negara akibat COVID-19 iaitu 225 kematian sejak malam raya.

“Apakah Malaysia di tahap paling kritikal?

“Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas untuk jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19,” katanya.

Begitu juga beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) untuk merawat pesakit COVID-19 telah mencecah 80 peratus di seluruh negara.

Untuk rekod negara kini di dalam Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula 12 Mei hingga 7 Jun nanti dengan menyaksikan peningkatan kes jangkitan COVID-19 hingga hampir ke angka lima ribu kes setiap hari di mana semalam sahaja 4,446 kes baharu.

Sehingga semalam, jumlah keseluruhan kes di negara ini adalah sebanyak 474,556 kes dan melibatkan 1,947 kematian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.