UMNO Rakam Takziah, Suami Kepada Ketua Wanita UMNO Perak Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 17 Mei – UMNO, seluruh kepimpinan dan ahli merakamkan ucapan takziah kepada Ketua Wanita UMNO Negeri Perak yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin atas pemergian suaminya Edi Razman Mohd Ismail.

Dalam satu hantaran di Facebook, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak Nor Hasimah Abu Hassan berkata suami kepada Exco Kerajaan Negeri Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah itu meninggal dunia pada jam 6.50 pagi tadi.

Menurut laporan Bernama yang menghubungi Pegawai Khas Dr Wan Norashikin, Nursyidah Jaeszan berkata Edi Razman, 53, tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika berada di samping Dr Wan Norashikin dan dua daripada tiga anak mereka sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan pada kira-kira 6.50 pagi di kediaman mereka di Sunway City Ipoh, Tambun, Ipoh.

“Arwah mempunyai sejarah sakit jantung namun punca kematiannya belum dikenal pasti. Jenazahnya telah dibawa ke bahagian forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini (Ipoh) untuk ujian COVID-19,” katanya.

Nursyidah juga berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas segala urusan berkaitan selesai.

Didoakan semoga Allahyarham ditempatkan di dalam kalangan orang-orang yang beriman. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.