Tindakan Rejim Zionis Keterlaluan, Langgar Undang-undang Antarabangsa – Norliza

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berharap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (UNSC) memberikan tekanan sewajarnya terhadap Israel yang melakukan serangan demi serangan kepada umat Islam di Gaza.

Katanya, tindakan itu secara jelas adalah tidak berperikemanusian dan mencabuli hak asasi kemanusiaan serta merupakan tindakan terkutuk dan keji terhadap sebuah negara dan manusia yang bernyawa.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang menyerang Palestin atas alasan mempertahankan diri. Tindakan ini amat keterlaluan dan melanggar undang-undang antarabangsa dan Persidangan Geneva.

“Rejim Zionis wajib dipertanggungjawabkan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pihak berkecuali dan berautoriti wajar melakukan intervensi terhadap Israel dan menyelamatkan bumi Palestin dari perbuatan kejam mereka,” tegas beliau.

Beliau yang Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang menyeru rakyat Malaysia dan masyarakat dunia agar terus bersatu hati menentang perlanggaran undang-undang antarabangsa ini.

“Tindakan yang tidak berperikemanusiaan Israel terhadap Palestin ini perlu ditentang dengan memberi tekanan melalui semua medium undang-undang, politik dan ekonomi.

“Palestin juga punyai hak untuk hidup dengan aman dan tenteram. Berikan pembebasan dan kemerdekaan kepada Palestin, wilayah yang diduduki dan Semenanjung Gaza,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.