Serangan Israel Ke Atas Palestin Adalah ‘Genocide’ – Dr Najmil


KUALA LUMPUR, 17 Mei – Tindakan rejim Israel menyerang, memusnahkan harta benda dan menceroboh Palestin adalah pembunuhan beramai-ramai atau ‘genocide’, bidas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

Ujarnya, krisis ini tidak pernah tamat dan pencerobohan haram terus dilakukan hingga rakyat Palestin tidak mempunyai tempat tinggal serta terpaksa tinggal di kem pelarian.

“Sampai bila masyarakat dunia hendak berdiam diri? Jika kematian George Floyd, warga African-American yang mati kerana kekerasan polis boleh mendapat sokongan di seluruh dunia, mengapa dalam isu Palestin berdiam diri?

“Kalau kerana status Palestin itu adalah negara Islam, bermakna masyarakat dunia yang sering dikatakan progresif dan intelektual ini sebenarnya adalah kolot dan bodoh,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi, pendukung hak asasi yang selama ini melaungkan nilai kebebasan kemanusiaan berdiam diri dalam isu Palestin.

“Malaysia antara negara yang lantang dalam memperjuangkan hak mereka.

“Ini adalah krisis kemanusiaan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa mengadakan gencatan senjata di Palestin untuk mengelakkan lagi nyawa terkorban.

“Jika PPB gagal bertindak, PPB akan dikenang sebagai pertubuhan antarabangsa yang gagal dalam melindungi kepentingan dan keselamatan manusia sejagat,” katanya.

Justeru Dr Najmil menyeru semua mendoakan agar rakyat di Palestin diberikan kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi ujian ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.