Masyarakat Dunia Mesti Kecam Kerakusan, Kekejaman Rejim Zionis

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata kekejaman rejim zionis di Palestin hingga mengorbankan golongan wanita dan kanak-kanak perlu dikecam oleh seluruh masyarakat dunia.

Katanya, kebiadapan rejim ini menjarah tanah Palestin inci demi inci sejak 1920-an hingga kini bukti betapa rakusnya puak ini.

“Pembunuhan yang dilakukan rejim ini perlu menjadi pengajaran kepada kita untuk sentiasa merapatkan saf dalam perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair (abata).

“Sesungguhnya warga Palestin adalah saudara kita sesama Islam dan mereka perlu dibela walaupun dengan secebis doa yang mampu diberi,” katanya dalam satu catatan di Facebook, hari ini.

Untuk rekod ketegangan di Baitulmaqdis mencetuskan keadaan kacau-bilau yang terburuk di bandar itu sejak 2017, apabila polis antirusuhan Israel bertempur dengan jemaah Palestin pada jumaat terakhir dalam bulan Ramadan.

Tindakan rejim zionis ini telah menyerang dan menembak rakyat Palestin di Masjid Al- Aqsa ketika umat Islam sedang beribadat.

“Marilah kita doakan di bulan Syawal yang mulia ini agar rakyat Palestin diberi kekuatan untuk melindungi diri mereka,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan