Isteri Polis Dikompaun RM2,000… Dilema Rakyat Hadapi SOP Yang Mengelirukan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa simpati terhadap wanita yang dikompaun RM2,000 kerana dikatakan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana menziarah suaminya yang merupakan anggota polis bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR).

Jelasnya, sebagai insan biasa beliau memahami kesedihan yang dialami keluarga berkenaan yang menghadapi situasi sukar di bulan yang mulia ini.

“Tidak terucap dengan kata-kata, sedih. Itulah dilema dihadapi oleh rakyat biarpun individu yang terlibat adalah anggota polis. Ya, benar lelaki itu anggota penguatkuasa tetapi beliau juga manusia biasa.

“Perasaan ahli keluarganya siapa yang tahu. Mereka sebak, orang tersayang tiada di hari bahagia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menyentuh berkenaan isu ini lagi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga meluahkan kekeliruan beliau berkaitan SOP Aidilfitri yang diumumkan baru-baru ini.

“Apakah definisi ziarah sebenarnya yang dibenarkan kerajaan? Adakah menjenguk suami yang bertugas di lapangan menjadi satu kesalahan sedangkan wanita berkenaan dan anaknya menaiki dua kereta berbeza.

“Mereka tinggal di kawasan berdekatan iaitu di Putrajaya atau kompaun itu dikenakan selepas foto mereka tular di laman sosial sekaligus mahu menutup kes.

“Lagipun dalam kes ini wanita berkenaan mahu memberikan juadah Aidilfitri. Mahu memberikan sokongan moral kepada suami supaya tabah berkhidmat untuk negara. Maka wajarkah dia dikompaun RM2,000?” ujar beliau.

Malah katanya, adakah pihak berkuasa sengaja mahu menyelesaikan kes ini kerana khuatir dengan pandangan segelintir pihak berkenaan penguatkuasaan yang disifatkan berat sebelah.

“Polis Putrajaya mengesahkan wujud pelanggaran SOP. Cepat pula siasatan dibuat sedangkan untuk selebriti masanya begitu lama.

“Kita tahu untuk artis kertas siasatan perlu diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dahulu. Tetapi bagi kes ini hanya tiga hari. Mungkin juga bagi mengelak tanggapan double standard gamaknya.

“Tetapi saya pelik. Portal sebuah berita menyebut tiada pelanggaran SOP. Jika tiada pelanggaran SOP kenapa dikenakan kompaun?” tegas beliau.

Baru-baru ini tular di media sosial seorang wanita bersama anaknya menziarahi suami yang bertugas dalam SJR di Persiaran Selatan hala ke Dengkil, Putrajaya pada 13 Mei  lalu.

Gambar tersebut sebelum ini mencetus spekulasi dalam kalangan netizen berkenaan kewajaran wanita berkenaan menziarahi suaminya ketika kerajaan menyekat aktiviti rentas daerah ketika sambutan hari raya Aidilfitri. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.