Israel Pekakkan Telinga… Teruskan Suara Bantahan Tentang Kekejaman Mereka – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Israel akan terus memekakkan telinga daripada mendengar jeritan dunia tentang kekejaman mereka kepada rakyat Palestin.

“Namun kita mesti terus suarakan bantahan di semua peringkat di samping menjaga rakyat kita agar selamat daripada COVID-19.

“Keduanya perlu kita lakukan serentak,” ciap Ahli Parlimen Pontian itu di Twitter.

Dalam media sosialnya itu juga, Ahmad berkata strategi luar biasa perlu ada untuk berdepan dengan Israel yang ketika ini sudah hampir selesai vaksinasi semua rakyatnya.

“Mereka bersiap awal daripada semua negara lain. Jadi untuk berdepan dalam isu Palestin perlu penyatuan umat Islam dari sudut ilmu, teknologi, kewangan dan pemikiran tahap yang terbaik,” gesanya lagi.

Berhubung dengan penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin, Ahmad berkata ia perlu dilakukan mengikut saluran yang betul.

Begitu juga tegasnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan dunia yang lain wajar terus mendesak agar Israel menghentikan kekejaman mereka terhadap penduduk Palestin.

“Ketika yang sama doa sebagai senjata orang mukmin yang mesti dipohon setiap masa hingga kita berjaya,” serunya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.