Usaha Diplomatik Dan Kemanusiaan Mesti Ditingkatkan Demi Palestin – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru kerajaan Malaysia agar mengadakan kerjasama dengan beberapa negara Islam bagi menganjurkan sidang khas dan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan krisis Palestin-Israel.

Katanya, ini kerana Malaysia telah lama menjadi pendokong perjuangan kedaulatan  Palestin oleh itu sokongan ini mesti diterjemahkan dengan usaha diplomatik yang berganda, serius dan mempunyai impak.

“Saya berkongsi pandangan dengan Tun Mahathir Mohammad bahawa penyelesaian damai mesti segera diusahakan bagi mengendurkan konflik di Palestin waktu ini.

“Malaysia wajar mempergiatkan usaha diplomatiknya dan menyokong usaha negara seperti Turki, Tunisia dan Mesir bagi meredakan keadaan di Palestin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu beliau turut menyajak rakyat Malaysia untuk memainkan peranan dengan menggiatkan segera segala ikhtiar kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Jerusalem dan Gaza.

“Konflik ketenteraan ini telah bertukar menjadi krisis kemanusiaan dengan orang memerlukan tempat kediaman, bekalan makan dan perubatan juga menjadi semakin sukar kerana penutupan sempadan ke Gaza.

“Hospital-hospital waktu ini pula beroperasi dalam keadaan kemudahan dan perubatan yang terhad. Keadaan di tambah buruk dengan wabak Corona yang semakin memburuk.

“Marilah kita semua tampil segera, menyumbang setakat yang termampu kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai operasi di Palestin. Semoga Allah memberi kemenangan kepada rakyat Palestin, insya-Allah,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline