Terima Kasih Guru… Dedikasi Mendidik Anak Bangsa – Khaled

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Sempena Hari Guru yang disambut pada hari ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak rakyat Malaysia untuk mengiktiraf jasa dan dedikasi para guru dalam mendidik anak bangsa.

Katanya, tanpa tunjuk ajar daripada guru-guru yang komited nescaya anak-anak akan jadi kalangan yang tidak berilmu dan tidak akan menjadi generasi yang lebih baik.

“Selamat Hari Guru kepada guru-guru di seluruh negara, terima kasih kerana memberikan sumbangan tidak terperi dalam keadaan negara berhadapan dengan wabak yang merbahaya waktu ini.

“Terima kasih kerana terus tekun dan gigih, mendidik di persada maya, dengan segala kekurangan yang menyukarkan, terima kasih kerana menjaga anak-anak kami dengan sebaiknya dan meluangkan masa tidak kira bila pun untuk pendidikan mereka.

“Terima kasih kerana terus berhadapan dengan pelbagai cabaran dari pembukaan dan penutupan sekolah secara berterusan, terima kasih kerana menggunakan wang sendiri, peralatan sendiri dan pelbagai ikhtiar sendiri untuk terus memberikan yang terbaik kepada anak-anak didikan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu lagi, kerajaan juga perlu memainkan peranan yang penting di samping menghargai jasa dan sumbangan para guru ini.

“Kepada kerajaan pula, teruskan segala usaha mengiktiraf sumbangan besar guru.

“Jangan bebankan mereka dengan bebanan yang bukan berkaitan pendidikan dan upayakan mereka dengan kemudahan untuk mengajar yang lebih baik dalam era wabak COVID-19 yang semakin meruncing ini.

“Sekali lagi, kepada guru semua, kami sangat terhutang budi terima kasih para pendidik Malaysia,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline