Pemuda UMNO Johor Tawar Guaman Percuma Bantu Individu Tunjuk Perasaan Di Parit Raja

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor bersepakat menubuhkan Sekretariat Peguam Pemuda UMNO Negeri Johor bagi menawarkan khidmat guaman percuma kepada individu yang terlibat dalam himpunan tunjuk perasaan yang berlaku di Parit Raja, Batu Pahat pada malam hari raya Aidilfitri.

Jelas naib ketuanya, Mohd Fared Khalid bantuan khidmat guaman percuma ini dibuat bukan bersandarkan pada agenda tertentu atau menyokong tindakan dibuat semua individu yang ditahan namun ia adalah sebagai inisiatif bagi membantu keluarga yang terkesan.

“Bagi membantu kepada mereka yang tidak memiliki keupayaan kewangan bagi yang mahu mendapatkan khidmat guaman, ditambah dalam keadaan suasana Aidilfitri, Perintah Kawalan Pergerakan dan COVID-19.

“Malah bantuan ditawarkan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor ini juga bukan berniat mahu menggangu pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih dan sedang menjalankan siasatan terhadap insiden ini, kami memberi ruang sepenuhnya kepada PDRM untuk menyiasat perkara ini.

“Tujuan penawaran bantuan khidmat guaman ini sebagai meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat ditahan pihak polis dan mungkin memerlukan khidmat peguam bagi mewakili anak mereka,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga pengerusi seketeriat itu juga berkata tawaran yang diberikan ini akan melibatkan nasihat guaman, representasi peguam dan urusan surat menyurat, manakala kos lain akan dibiayai keluarga mangsa.

“Sehubungan itu, ahli keluarga yang mahu mendapatkan bantuan ini boleh menghubungi Pergerakan Pemuda UMNO Johor atau Sekretariat Peguam Pemuda UMNO Negeri Johor di talian +60 12-700 7579 selain untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penawaran bantuan ini.

“Sekali lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berharap tawaran bantuan khidmat guaman ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kewangan buat keluarga 20 remaja yang ditahan berkait insiden tunjuk perasaan di Batu Pahat,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan kepada mana-mana pihak untuk tidak memperalatkan anak muda untuk tujuan sandiwara atau gimik politik.

“Anak muda di negeri ini juga diingatkan untuk tidak mudah diperguna sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor turut menyahut dan menyokong kenyataan Majlis Belia Negeri Johor dan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor yang kesah dan kesal dengan insiden berkenaan selain memahami kerisauan dan kegelisahan anak muda hari ini terutama tentang keadaan ekonomi, keselamatan dan politik negara yang kian meruncing,” tegas beliau.

Sehingga kini PDRM memaklumkan seramai 20 individu sudah ditahan berusia antara 16 hingga 28 tahun berkaitan insiden berkenaan. – UMNO Online