PBB Guna Kuasa Veto, Zionis Pula Makin Biadab ‘Play Victim’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa dukacita beliau dengan ketegangan yang berterusan berlaku terhadap umat Islam di Gaza yang berhadapan dengan kekejaman oleh rejim Zionis.

Katanya, perkara yang lebih menghairankan apabila selepas seminggu kejadian berlaku Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) baru mahu mengadakan perbincangan secara maya.

“Mereka menangguhkan mesyuarat dan menggunakan kuasa veto. Seperti biasa adakah mereka mahu melihat lebih ramai rakyat Palestin meninggal dunia.

“Atau ketika para pejuang al-Qassam hampir menang, barulah mereka mahu mengusulkan gencatan senjata?” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menambah Israel secara terang-terangan berterusan mencabuli undang-undang antarabangsa dengan melakukan serangan tanpa mengenal erti kemanusiaan

Berikut merupakan hantaran penuh yang dilakukan beliau mengenai konflik Palestin-Israel ini:

Allahuakbar.

Tentera dan rejim Zionis amat biadap. Mereka melampaui batas, takbur, bongkak dan terus menganiaya umat Islam di Gaza dan Palestin.

Mereka lupa janji Allah SWT adalah benar. Semoga Allah SWT memberikan seteruk-teruk balasan kepada pengganas Zionis yang membunuh umat Islam.

Saudara seagama kita di Gaza bermandikan darah. Semoga Allah SWT menerima para syuhada ini dan memasukkan mereka ke dalam syurga tempat setinggi-tingginya. Mereka mempertahankan tanah air dan Masjid al-Aqsa, masjid ketiga tersuci umat Islam.

Terima kasih saudara di Gaza. Ketika kami di Malaysia hidup dalam keadaan baik, para pejuang di sana mempertahankan maruah Islam.

Saya seru kepada umat Islam di Malaysia teruskan berdoa, solat hajat dan bermunajat kepada Allah SWT agar agama suci ini dipertahankan di Palestin, terutamanya di Gaza.

Dan harapan saya agar pejuang Pedang Al-Quds meneruskan kemaraan. Malaysia dan UMNO akan terus menyuarakan sokongan. Saya juga menyeru seluruh Muslimin dan Muslimat menyalurkan bantuan semampu yang boleh.

Apa lagi yang boleh diperkatakan tentang Yahudi dan Zionis ini. Mereka akan sesat selama-lamanya sehingga Allah melaknat mereka. Masjid al-Aqsa milik umat Islam.

Tanah ini tempat lahirnya para Nabi dan aniya. Walaupun dunia Barat menganggap Al Qassam dan Hamas pengganas, tetapi di mata kita mereka adalah syahid.

Mereka pejuang. Pejuang agama kita. Saya doakan kebangkitan intifada. Zionis dan rakyatnya ‘play as victim’.

Tentera mereka yang memulakan serangan. Mereka menghalang umat Islam ke masjid. Mereka mengusir warga Palestin dari penempatan Sheikh Jarrah di Timur Baitulmaqdis. Mereka mencederakan dengan senjata dan bom.

Dan kini mereka melakukan pengeboman di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Di Khan Yunis, Neblus, Beit El, Dar Salah, Qafin, Betlam, Kafr Qadin, Ufra, Azzun, Qawrah beserta kawasan lain.

Setakat ini Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan 139 angka korban, mereka syahid di sisi Allah SWT. Lebih 1,000 penduduk cedera dan 750 yang lain diberkas polis Israel.

Isu Palestin menjangkaui isu negara dan agama. Ia berkait isu kemanusiaan sejagat. Media Israel melaporkan setakat ini kerajaan mereka sudah melancarkan lebih 2,127 roket sejak perbalahan berlaku. Serangan di bulan Ramadan adalah serangan berulang kali. Subhanallah, Allahuakbar.

Saya pelik ketika kejadian ini lebih seminggu berlaku, PBB baru mahu mengadakan perbincangan secara maya. Mereka menangguhkan mesyuarat dan menggunakan kuasa veto.

Seperti biasa adakah mereka mahu melihat lebih ramai rakyat Palestin meninggal dunia. Atau ketika para pejuang al-Qassam hampir menang, barulah mereka mahu mengusulkan gencatan senjata?

Negara haram Israel mencabuli undang-undang antarabangsa. Mereka menyasarkan orang awam, membunuh kanak-kanak dan wanita. Mereka tidak mempedulikan dunia.

Saya ada sesuatu untuk diperkatakan. Berhati-hati dengan Israel dan sekutu kerana mereka amat mahir dengan ‘reverse psychology’. Umat Islam di Malaysia amat bersimpati dengan nasib menimpa umat Islam di Gaza. Kita melahirkan rasa sedih dan akan memberikan bantuan.

Jangan dilupai serangan ke atas Gaza serangan berulang. Dalam konflik yang berlaku, mungkin ada sesuatu yang cuba dilakukan untuk mengalihkan pandangan.

Ketika mata, fokus dan kemarahan memuncak di sana, kita juga harus menjaga akidah kita di sini. Kita juga mesti menjaga negara dan umat Islam di Malaysia.

Saya khuatir ciptaan serangan ini akan dijadikan alasan bagi Israel mencapai aspirasi mereka. Atau mahu terus mengishtiharkan Jurusalem sebagai ibu negara mereka.

Untuk mewujudkan Islamophobia seterusnya. Kita perlu tahu bahawa Zionis itu licik.

Sepanjang pentadbiran UMNO dulu kini dan selamanya, parti ini memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan Hamas. Semoga kemenangan milik kita. Percaya kepada Allah SWT. Kebenaran akan terbukti. – UMNO Online