Muliakan Guru… Mendidik Anak Bangsa Jadi Insan Terbaik – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama memuliakan insan hebat bernama guru yang banyak menaburkan bakti mendidik anak bangsa.

Jelas beliau, di samping mendidik pelajar dalam bidang pelajaran para guru juga berperanan dalam membentuk nilai moral dalam kalangan pelajarnya.

“Guru bukan sekadar sang pencerah mereka juga adalah benteng moral bangsa dan tanahair ini. Pada merekalah, keperibadian bangsa ini diolah dan dibentuk.

“Mari kita muliakan guru-guru dengan menanam azam untuk membantu mereka menjadikan pendidikan kita, sekolah kita, bahasa kita, hebat, bermutu dan luar biasa.

“Agar tidak ada seorang pun anak bangsa yang tertinggal dan tercicir dalam mendapat pendidikan terbaik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook bersempena Hari Guru yang disambut pada hari ini

Mohamad juga turut mengambil kesempatan memberikan ucapan penghargaan kepada guru-guru yang pernah mendidik beliau ketika di bangku persekolahan.

“Khusus kepada guru-guru saya, dengan ilmu yang kalian titiplah saya bebas dari kehidupan yang sukar, menjadi berilmu dan mengecap kerjaya yang baik. Alhamdullilah.

“Kalian telah memberikan saya nilai yang tidak terperi pentingnya. Menanam dalam diri saya serta rakan-rakan, budaya, sikap dan prinsip berkemajuan.

“Mengajar diri saya dan rakan-rakan, agar berguna pada bangsa, berpegang pada prinsip, teguh dengan pendirian, senantiasa melihat ke hadapan, gemar kepada cabaran, berani berubah dan yang paling penting menghargai kepelbagaian dan setiakawan. Terima kasih yang sangat mendalam dari saya,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.