Kecam Dan Kutukan Israel Tidak Memadai… Senaraikan Mereka Sebagai Rejim Apartheid – Khaled

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan kecaman dan kutukan kepada Israel semata-mata tidak memadai dalam menghentikan mereka daripada terus menzalimi umat Islam di Gaza.

Katanya langkah yang lebih berani seperti mengisytiharkan secara rasmi Israel sebagai negara apartheid harus dilakukan kerajaan.

“Kini, kita mesti mengambil langkah yang lebih tegas dan radikal dengan mengisytiharkan bahawa Israel adalah negara apartheid secara rasmi. Ia tidak boleh bersifat kecaman secara bermusim.

“Dunia mesti melihat operasi pembantaian komuniti Arab, pembunuhan beramai-ramai, perampasan harta dan kediaman serta pembersihan etnik berskala besar oleh Zionis sebagai apartheid sistematik serta jenayah perang dan bukannya ‘self defence’.

“Dengan mengakui Israel sebagai rejim apartheid, ia akan mengubah kedudukan rejim ini dalam forum-forum dunia dan memberi kesan yang lebih serius seperti pemutusan hubungan diplomatik dan larangan menyertai pelbagai acara dunia seperti Sukan Olimpik dan lain-lain. Perkara ini akan memberi tamparan serta tekanan yang jelas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata kerajaan juga perlu menyemak semula dasar two-state solution selari dengan aspirasi rakyat Palestin dan kedudukan semasa di Malaysia.

“Hari ini dan ketika ini, keadaan telah banyak berubah. Walaupun sebelum ini ada ketetapan two-state solution, semakin banyak wilayah Palestin diduduki secara haram dan pengusiran penduduk Arab terus menjadi dasar rasmi rejim Yahudi.

“Yang demikian mewajarkan penilaian semula dasar Malaysia apalagi bila parti-parti yang mendukung kerajaan sedia ada adalah mereka yang mempunyai pendirian menentang two-state solution,” katanya.

Khaled turut sama melahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang cakna akan isu ini kerana ianya sekaligus meningkatkan kesedaran, pemahaman serta bantuan kepada rakyat Palestin

“Namun, sebagai sebuah negara yang mempunyai dasar luar yang jelas dan bebas, pendirian serta suara kita harus lebih lantang.

“Saya dan seluruh rakyat Malaysia sangat berharap agar kerajaan Malaysia akan mengambil langkah yang lebih jelas, tegas dan radikal dalam isu ini.

“Sesungguhnya kita semua akan dipersoalkan tentang apa yang kita lakukan tatkala saudara kita diperlakukan dengan kejam oleh rejim pengganas yang tidak berperi kemanusiaan. Semoga keamanan, maruah dan hak Palestin akan kembali kepada mereka selayaknya,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.