Parlimen Mesti Segera Bersidang Buat Usul Kutuk Kekejaman Israel – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR,15 Mei -Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan untuk segera mengadakan sidang khas Parlimen bagi membuat usul tergempar mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan dan kejam tentera pengganas Israel terhadap rakyat Palestin.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata umum mengetahui bahawa punca ketegangan di timur Baitulmaqdis sekarang adalah rentetan tindakan pertubuhan penempatan Israel yang bertujuan mengubah kawasan kejiranan Palestin menjadi kawasan kejiranan Yahudi sehingga mengundang bantahan rakyat Palestin.

“Tindak balas Israel yang menggunakan kekerasan dan keganasan terhadap himpunan awam rakyat Palestin bukan sahaja tidak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa malah jelas melanggar Resolusi 2334 Dewan Keamanan PBB berkenaan larangan membangunkan pemukiman baharu Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Justeru tambah Dr Asyraf lagi, Parlimen Malaysia mesti segera bersidang dan membentangkan usul yang akan menyerlahkan solidariti rakyat Malaysia tanpa mengira parti dan ideologi dalam menyuarakan pendirian Malaysia secara tegas dan keras terhadap aksi teroris dan kebiadaban Israel yang mencabuli hak asasi manusia dan melakukan jenayah Perang yang amat melampau.

“Parlimen Malaysia juga mesti turut mengusulkan agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu segera campur tangan sebelum ramai lagi nyawa orang awam terutama wanita dan kanak-kanak terkorban akibat kerakusan Tentera Zionis Israel,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.