Golongan Belia Memacu Negara Ke Arah Kejayaan Negara – Sharkar Shamsudin

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan bagi sesebuah negara.

Katanya, belia mampu menyumbang ke arah kemajuan, kejayaan, keamanan dan pembangunan sesebuah negara.

“Para belia perlu diasuh, dididik dan diberikan bimbingan yang betul dan sempurna sehingga mereka menjadi generasi yang berilmu, beriman, beramal dan bertaqwa serta berakhlak mulia berpandukan Al-Qur’an dan As-Sunnah.

“Penghargaan juga patut diberi di atas peranan belia dari pelbagai kaum yang tampil membantu masyarakat sepanjang tempoh negara menangani wabak COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang menjelaskan bahawa ramai belia-belia di negara ini merupakan barisan hadapan dalam pelbagai bidang yang diceburinya untuk membendung penularan COVID-19.

“Ramai di antara mereka merupakan barisan hadapan dalam sektor kesihatan, keselamatan, kebersihan, kesukarelawan dan kemasyarakatan.

“Semoga golongan belia terus diberikan perhatian menerusi didikan tarbiyah Islam agar negara terus maju dan utuh kerana belia hari ini merupakan pemimpin masa hadapan,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.