Fitnah ‘Group WhatsApp’ MKT : Shahril Harap Ahli UMNO Dan Rakyat Tidak Keliru

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melihat kononnya ada suatu group Majlis Kerja Tinggi UMNO membincangkan “arahan” Presiden UMNO Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk pemimpin parti merancakkan program bersama DAP adalah rekaan semata-mata.

Tegas beliau perkara tersebut kononnya  untuk meyakinkan dan melatih akar umbi menerima kerjasama bersama DAP merupakan satu rekaan sepertimana disahkan oleh Presiden dan Datuk Seri Khaled Nordin yang namanya dipetik menulis dalam group itu.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Shahril secara lebih lanjut membongkar fitnah berkenaan dan turut berharap agar ahli dan rakyat tidak terkeliru dan apa yang jelas keputusan PAU 2020 dan MKT kekal terpakai ke saat ini.

Berikut penjelasan penuh :

FITNAH GROUP WHATSAPP MKT

Hari ini tular “screenshot” yang membayangkan kononnya ada suatu group Majlis Kerja Tinggi UMNO membincangkan “arahan” Presiden UMNO Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk pemimpin parti merancakkan program bersama DAP. Kononnya ia untuk meyakinkan dan melatih akar umbi menerima kerjasama bersama DAP.

1) Ini merupakan rekaan semata-mata sepertimana disahkan oleh Presiden dan DATUK SERI HJ. MOHAMED KHALED NORDIN yang namanya dipetik menulis dalam group itu.

2) Dato’ Seri Najib bukan ahli MKT, maka tidak akan berada dalam apa-apa “group WhatsApp MKT”.

3) Jika kita buka group WhatsApp kita, nama ahli group yang terpampang di atas akan mengikut urutan abjad yang di’save’ dalam telefon. Agak janggal jika dalam suatu “group MKT”, dua nama pertama yang terpampang ialah Dato’ Seri Khaled dan Dato’ Seri Najib.

Kalaupun semua ahli group di’save’ sebagai “Dato’ Seri”, ramai lagi ahli MKT yang nama mereka bermula sebelum huruf K dan N.

Semuanya menampakkan suatu usaha untuk melakar imej negatif kepada kepimpinan parti.

Harap ahli dan rakyat tidak terkeliru. Keputusan PAU 2020 dan MKT kekal terpakai ke saat ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Oleh : Azman Abas