‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’ Tunjang UMNO Bersama Rakyat – Nurul Amal


KUALA LUMPUR, 14 Mei – Sambutan ulang tahun UMNO ke-75 pada kali ini seharusnya diraikan sebagai simbolik kepada penyatuan bangsa sesuai dengan slogan parti, ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’, kata Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Amal Mohd Fauzi.

Ujarnya, melalui nilai semangat yang ditunjukkan ianya mencerminkan bahawa parti keramat ini masih lagi kekal utuh dalam memperjuangkan nasib orang Melayu di negara ini.

“Ahli-ahli UMNO di bawah dan di atas perlu jadikan sambutan hari UMNO kali ini sebagai satu penyatuan.

“Satu semangat sepasukan untuk kita teruskan UMNO menjadi tunggak kepada relevannya masyarakat Melayu, Islam di luar sana.

“UMNO semestinya untuk rakyat Malaysia, pastikan UMNO terus dengan motonya ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, sempena hari raya Aidilfitri ini Nurul Amal turut meminta rakyat di negara ini mengambil pedoman ke atas cabaran yang dilalui oleh negara ketika ini terutama sekali dengan penularan wabak COVID-19 yang masih melanda.

“Tapi percayalah apa sahaja ujian yang kita hadapi adalah semestinya daripada Allah dan semestinya ada kebaikan untuk kita semua.

“Selamat hari raya Aidilfitri juga saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan seluruh akar umbi UMNO.

“Maaf zahir dan batin jika salah dan silap sepanjang perkenalan kita bersama walaupun kita raya pada tahun ini amat berbeza dan kita rindukan raya yang sebelum ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.