UMNO 75 Tahun, Terus Relevan Untuk Depani Dunia Politik Baharu- Sharkar


KUALA LUMPUR, 12 Mei – 75 tahun UMNO merupakan satu jangka waktu yang panjang dan sebagai sebuah parti politik tentunya diharapkan UMNO terus relevan dan sentiasa menepati zaman, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Malah beliau juga berpandangan UMNO harus mengikuti perkembangan semasa jika ingin terus survive dalam dunia politik baharu hari ini.

“Kita harapkan supaya walaupun kita pernah melalui pelbagai liku-liku termasuklah daripada parti pemerintah kepada parti pembangkang, sudah tentu ini akan mematangkan UMNO. Yang penting adalah manusia yang mengisi UMNO atau ahli-ahli yang sentiasa mampu dan sentiasa bersedia untuk menerima perubahan,” katanya kepada UMNO-Online.

UMNO menyambut ulangtahun ke-75 pada 11 Mei dan ianya juga merupakan Jubli Intan.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang seterusnya berkata rakyat hari ini boleh membuat penilaian tersendiri terhadap perjuangan UMNO.

Katanya selama 61 tahun menjadi parti pemerintah, kemudiannya 22 bulan menjadi pembangkang dan sekarang menjadi sebahagian daripada pemerintah, ianya menjelaskan segala-galanya kepada rakyat.

“Kita lihat sudah tentu rakyat memahami dalam masa yang cukup dekat ini mereka telah pun mampu membuat perbandingan kerana semua parti pernah menjadi pemerintah.

“Rakyat boleh bandingkan pencapain dan ‘track record’ yang ada pada UMNO dan juga parti-parti lain. Kekalahan yang diterima sebelum ini adalah satu rahmat bagaimana ianya memberi peluang kepada rakyat melihat bagaimana parti-parti lain jika diberikan amanah memegang amanah berkenaan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.