Kecam Perbuatan Biadap Tentera Zionis, Ahmad Zahid Seru Berdoa Keselamatan Umat Islam

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengecam sekeras-kerasnya perbuatan biadap tentera Zionis yang menceroboh masuk ke Masjid al-Aqsa di Palestin dan menyerang rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk berdoa kepada Allah SWT supaya menyelamatkan umat Islam di Gaza dan juga mendoakan agar Allah SWT memberikan seteruk-teruk balasan pada Zionis laknat ini.

“Syukur Alhamdulillah kita di Malaysia sedang menyiapkan persiapan menyambut Alfilfitri, namun ianya berbeza dengan saudara-saudara kita di Palestin.

“Beberapa hari lalu kita menerima perkongsian video yang menampakkan tentera Zionis Laknatullah menceroboh masuk ke Masjid al-Aqsa di Palestin.

“Perbuatan itu sememangnya zalim dan jahat. Mereka menyakiti dan menyerang umat Islam yang sedang menunaikan solat terawih. Bayangkan ketika itu saudara seagama kita sedang sujud dan mengabdikan diri kepada Allah SWT,” katanya dalam hantaran di laman facebooknya.

Dalam hal ini beliau rasa syukur kerana di Malaysia sedang menyiapkan persiapan menyambut Alfilfitri, namun ianya berbeza dengan saudara-saudara kita di Palestin.

“Mereka diserang dengan senjata dan bom. Allahuakbar. Seramai 178 penduduk Gaza cedera dan dikejarkan ke hospital. Lebih biadap tentera Zionis laknatullah ini membaling al-Quran dan memijak dengan kaki mereka.

“Begitulah nasib umat Islam di Palestin. Mewakili pucuk pimpinan UMNO Malaysia, saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan biadap berkenaan. Ini bukanlah perkara baharu tetapi ratusan kali penganiayaan sudah dilakukan ke atas saudara kita.”

Tegasnya, perbuatan pendatang haram Yahudi ini dikutuk sekeras-kerasnya dan kerajaan Israel perlu dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi dan pencabulan undang-undang antarabangsa.

“Tentera Zionis melampaui batas apabila turut melakukan pengusiran secara paksa ke atas rakyat Palestin daripada kediaman mereka termasuk di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis.

“Bersama kita terus memberikan sokongan kepada rakyat Palestin demi mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” katanya lagi. – UMNO Online