UMNO Cukup Matang, Sejarah Perjuangan Panjang Demi Khidmat Kepada Rakyat – Rahman


KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berpandangan 75 tahun perjuangan UMNO bukan sahaja menampakkan parti itu cukup matang dalam perjuangan malah lebih jauh daripada itu sebagai sebuah parti politik di negara ini.

Menurut beliau perkara tersebut jelas dilihat bagaimana ketika parti mengalami kekalahan pada 2018 yang lalu, UMNO terus mengorak langkah dan hari ini telah mampu melangkah ke depan mendepani segala cabaran.

“75 Tahun perjuangan UMNO yang merupakan juga sambutan Jubli Intan saya nampak dan lihat UMNO jauh lebih matang. Walaupun dalam PRU (Pilihan Raya Umum) yang lalu kita mengalami kekalahan… kita menerima kekalahan itu dan pastinya kekalahan itu diketahui oleh rakyat bahawa puncanya bukan kegagalan UMNO sebagai pemerintah.

“Jika diimbau UMNO memerintah begitu baik sekali sehinggalah 75 tahun perjuangan… sehingga ke hari ini… bermula pada 1957 sehinggalah kita mencorak negara ini kepada sebuah negara yang begitu maju. Saya percaya rakyat sedar perkara ini.

“Kekalahan pada PRU-14 bukanlah berpunca daripada pemerintahan kita tetapi persepsi yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu… maka rakyat menerima persepsi berkenaan dan jika kita melihat sekarang ini… hari ini kita telah pergi ke era digital, maka pada era digital ini UMNO mungkin boleh perbaiki tetapi dalam perbaiki itu saya dapati bahawa kita bertambah matang… dan dengan kematangan inilah UMNO boleh bangkit kembali,” ujarnya.

UMNO menyambut ulang tahun ke-75 pada 11 Mei dan ianya juga merupakan sambutan Jubli Intan.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis seterusnya melontarkan keyakinan bahawa parti akan terus bergerak ke depan dengan pelbagai pemimpin yang saling memahami.

“Saya percaya dengan kepimpinan yang ada saya dapati kepimpinan sekarang banyak memberikan nasihat kepada ahli-ahli kita di bawah dan pada satu ketika, permulaan kita kalah seolah-olah hilang keseimbangan maka kita cuba ambil langkah yang seimbangkannya kembali dan Alhamdulillah.

“Apa pun saya amat yakin dalam keadaan UMNO hari ini, parti boleh terus bangkit kembali… kalau saya katakan bangkit dengan kuat mungkin akan dianggap takbur tetapi boleh berdikari semula untuk memastikan bahawa PRU-15 UMNO telah bangkit dan rakyat hari ini sedar… tidak mungkin rakyat akan mengulangi kesilapan itu semula.

“75 tahun perjuangan UMNO… kepentingan kepada rakyat tidak dinafikan dan dari semasa ke semasa kita telah buktikan kepada rakyat. Saya sendiri selaku Ahli Parlimen Lipis, dahulu banyak jalan-jalan raya yang tidak berturap termasuklah infrastruktur lain. Rakyat lihat dan terus memberikan harapan kepada kita. Harapan saya… rakyat boleh nilai bagaimana pentadbiran kita dan dapat bersama kembali seperti sediakala sewaktu zaman kemuncak pentadbiran negara pada satu ketika dahulu,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.