Kehebatan Sebuah Parti Dinilai Berasaskan Kuasa Yang Dimiliki – Shamsul

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kehebatan sebuah parti politik tetap dinilai berasaskan kuasa yang dimilikinya dan tidak lengkap atau bermakna jika kuasa memerintah masih tiada di tangan UMNO.

Kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu, meraikan 75 tahun usia UMNO akan lebih bermakna jika disertai dengan semangat dan iktizam baru, bersiap sedia dan UMNO kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Sedarilah. Landskap dan situasi politik kini sudah berubah. UMNO mesti punyai kekuatan menghadapi perubahan di hadapannya. Namun melakukan perubahan bukan bermakna menggadai segala prinsip serta ideologi perjuangannya demi sebuah kuasa.

“Melakukan perubahan antaranya bermaksud kita bersama memperbetulkan kesilapan yang menyebabkan UMNO hilang kuasa setelah lebih 60 tahun berada di puncak,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Ulang Tahun UMNO yang ke-75 hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Lenggong itu, ia bermakna wajah UMNO hendaklah dihiasi agar lebih segar, lebih bertenaga dan dilihat hebat di mata rakyat bukan hanya di mata ahli atau anggotanya sahaja kerana rakyatlah yang akan menentukan kedudukan UMNO.

“Utamakanlah parti dan perjuangan kerana rakyat menilai, ahli memerhati. Maka kita mesti ikhlas bila berjuang. Sentiasalah meletakkan parti sebagai keutamaan melebihi yang lain.

“Berpadulah kita dan usah berpecah. Ini penting agar UMNO dipandang kuat, tidak berpecah, harmoni, seia sekata, kerana kunci kepada kekuatan UMNO ialah apabila kita bersatu padu dan tidak berpecah-belah.

“Bekerja dan dekatilah rakyat. Percayalah jika UMNO dekati rakyat. Rakyat akan dekati UMNO. Rakyat mahukan pembelaan. Nasib mereka mesti diperjuangkan. Kalau UMNO mahu mereka, penuhilah kehendak mereka. Ingatlah, bekerja dan mendekati rakyat bukan bermusim. Ianya mesti jujur dan sentiasa dilakukan,” katanya.

Tambahnya lagi, parti hendaklah bersiap sedia kerana untuk menang persiapan mesti lengkap.

“Bacaan datanya mesti tepat. Jentera parti mesti sempurna. Sasaran UMNO mesti jelas dan menepati semua kelompok bukan sekadar memenuhi impian ahli sahaja dan meninggalkan rakyat.

“Ini sebahagian dari apa yang wajib kita lakukan. Dan betul. UMNO parti yang cukup lama. Usianya begitu panjang. Namun hanya bangga dengan usia 75 tahun UMNO tiada memberi erti jika sikap, cara bekerja tiada berubah ke arah lebih baik, lebih sempurna dan disukai rakyat,” tegasnya.

Dr Shamsul juga menggesa semua mengambil iktibar bagaimana LDP boleh kembali berkuasa di Jepun setelah mereka tewas.

“Dan renungilah bagaimana GOLKAR hilang kuasa yang akhirnya membawa kepada perpecahan serta tertubuhnya pelbagai parti lain seperti Nasional Demokrat (Nasdem), Hanura, Gerindra, MKGR, PKPI, PKPB , PDI (Tutut ), dan akhirnya tidak lagi sehebat GOLKAR seperti sebelumnya,” katanya.

Maka ujarnya untuk kembali berkuasa di ketika meraikan sambutan 75 tahun UMNO kini marilah semua ahli bermuhasabah diri.

“Perlu segera pilihan raya? Betul. Inilah jalan untuk UMNO kembali berkuasa. Namun bersediakah kita? Menangkah kita? Persoalan ini penting diperhalusi oleh UMNO.

“Kesimpulannya. UMNO mesti bijaksana. Membuat keputusan jangan beremosi dan perlu penelitian. Agar ia betul, tepat dan menguntungkan UMNO di hari ini dan di masa hadapan.

“Bersuaralah. Namun jangan merosakkan parti sendiri. Seranglah musuh. Musuh sebenar. Sesekali jangan menembak diri sendiri,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.