Ahmad Zahid Sebak Nasib Rakyat Di Kawasan PKPD Menyambut Lebaran, Harap Agensi Kerajaan Bantu

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebak sebak memikirkan nasib individu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terpaka meminta bantuan keluarga untuk mendapatkan bekalan makanan.

Ini bermakna kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan mereka yang terbabit tidak dibenarkan keluar dan perlu meraikan Lebaran dalam kawasan kampung sahaja.

“Saya beranggapan mungkin juga sebaik PKPD diumumkan penduduk tidak sempat membeli bekalan barang mentah dan bergantung harap dengan apa yang ada saja.

“Besar harapan saya agar agensi berkaitan seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dapat menyalurkan bekalan makanan secukupnya untuk mereka.

“Simpati pada nasib penduduk memandangkan kampung mereka terkepung dalam kawasan pelaksanaan PKPD. Mereka terpisah seketika bersama keluarga,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid memberi respon demikian berdasarkan laporan media yang menyatakan tiga kampung di Pasir Mas, Kelantan dikenakan PKPD bermula 9 hingga 22 Mei 2021.

Ia melibatkan Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas dalam Mukim Bunut Susu.

Ulasnya lagi, beliau amat memahami penularan kes COVID-19 amat luar biasa.

“Walaupun kita dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan tetapi jangan dilupakan kebajikan.

“Memandangkan Aidilfitri hanya beberapa hari lagi, saya merasakan barangan yang boleh disalurkan adalah seperti beras, gula, garam, daging ayam, daging lembu, daun palas, beras pulut, tepung dan lain-lain,” pintanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.