UMNO Lahir Dari Rahim Suci Qudus, Pertahankan Idealisme Perjuangan Bangsa – Asyraf


KUALA LUMPUR, 10 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO lahir daripada rahim yang suci serta qudus dan bukannya lahir di tepi jalan atau sebaliknya.

Malah tegas beliau UMNO bukan lahir atas dasar pengkhianatan tetapi ia lahir atas sebuah perjuangan untuk membela agama, menjaga maruah bangsa dan juga negara yang berbilang agama dan kaum.

“Pertama sekali kita harus bersyukur kerana Allah swt meletakkan parti UMNO sebagai sebuah parti tunjang dan tonggak bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga tunjang yang menjaga dan memelihara kedaulatan serta kesucian agama Islam kita. Ingat bahawa UMNO ini ia ada karamahnya tersendiri kerana UMNO lahir daripada satu rahim yang cukup suci dan qudus. Rahim yang membawa semangat perjuangan yang jitu.

“Sebab itulah dalam konteks ini kita harus memelihara parti ini dalam semangat menyambut 75 tahun sudah tentu kita mengharapkan agar seluruh warga parti jangan sesekali lupa warisan yang ditinggalkan oleh pejuang terdahulu untuk kita menjaga parti ini, bukan untuk kita tetapi untuk masa depan negara kita yang juga sudah tentu agama dan bangsa kita,” katanya kepada UMNO Online.

UMNO menyambut ulang tahun ke-75 pada 11 Mei ini dan ianya juga adalah sambutan Jubli Intan.

Atas sebab itulah jelas Asyraf lagi paling utama sekali untuk ahli parti terus istiqamah dalam perjuangan, kekal dan kental dalam mempertahankan idealisme dan ideologi parti yang banyak jasanya kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Dalam konteks Pemuda pula, Asyraf berpandangan sudah tentu Pemuda sebagai pewaris perjuangan UMNO pada masa akan datang, Pemuda adalah benteng utama parti dan dalam keadaan parti diuji buat pertama kali tersungkur dan tidak memegang teraju kerajaan pada Mei 2018, Pemuda telah berupaya membangkitkan semangat ini di peringkat akar umbi.

“Tentulah amanah ini harus kita pegang dan harus kita teruskan semangatnya untuk kita terus membawa sehingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan paling mustahak UMNO yang didokong oleh anak-anak muda hari ini perlu mewajahkan parti ini dengan satu citra yang baharu.

“Dengan wajah yang lebih qudus, wajah yang lebih suci yang berpegang kepada prinsip akhlak dan moral, berintegriti demi untuk memastikan kelangsungan agenda parti ini dihormati dan diiktiraf bukan sahaja oleh warga parti tetapi juga oleh rakyat keseluruhannya.

“Sebab itulah sebagai pemimpin-pemimpin muda, kita harap Pemuda-Pemuda akan terus istiqamah dengan perjuangan UMNO ini memahami dan menghayati idealismenya dan memanifestasikan dalam setiap apa juga yang dilakukan dalam memegang teraju di semua peringkat baik di peringkat pusat mahu pun bahagian dan cawangan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.