UMNO 75: Rekod Kecemerlangan UMNO Pejuangkan Untung Nasib Bangsa, Agama, Negara – Najib Razak

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata pada 11 Mei ini parti UMNO akan menyambut ulang tahun yang ke 75 dan ia menunjukkan parti ini terlalu banyak berjasa sekian lama kepada rakyat dan negara.

Katanya, UMNO sentiasa mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membawa  kecemerlangan negara ke persada antarabangsa.

“Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke 75 iaitu tahun Jubli Intan UMNO pada tahun ini dan ia menandakan rekod kecemerlangan UMNO dalam memperjuangkan untung nasib bangsa, agama dan negara.

“Kepada ahli-ahli UMNO… saya ingin menyarankan supaya kita kembali bersatu padu, penyatuan ahli-ahli UMNO adalah amat penting solidariti kita merupakan tunjang kepada kekuatan dan Insya-Allah kejayaan kita lebih-lebih lagi pada masa PRU (Pilihan Raya Umum) ke-15 nanti.

“Inilah ketikanya apabila kita menuntut kepada kesetiaan, komitmen dan penyatuan ahli UMNO dan Insya-Allah kita akan menempa masa depan yang cemerlang. Selamat menyambut ulang tahun parti UMNO kita,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berharap agar umat Islam di seluruh Malaysia dapat meraikan Aidilfitri dengan perasaan gembira.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin kepada semua umat Islam dan mudah-mudahan dalam keadaan yang terpaksa kita hadapi ini tidak akan mengurangkan perasaan perayaan hari raya ini dan juga rasa kegembiraan kita dalam kita menerima kedatangan bulan Syawal ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.