Jubli Intan: Sayangi UMNO… Parti Yang Menjadi Penggerak Membela Nasib Rakyat – Najib Razak

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berpandangan UMNO merupakan parti yang menjadi platform terbaik iaitu sebagai penggerak kepada perjuangan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Jelas beliau lagi, perjuangan ini sudah tentunya untuk membela nasib rakyat agar dapat memberikan masa hadapan yang lebih baik terutama kepada generasi yang akan datang.

“Kita mesti menyumbang ke arah kekuatan parti kita, sayanglah parti kita sebab selagi ada parti UMNO ini, inilah medan untuk kita berjuang.

“Agar perjuangan ini kita lakukannya secara berterusan tapi kalau tidak ada parti yang menjadi medium kita untuk berjuang… gelaplah masa depan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara sempena ulang tahun UMNO yang bertajuk ‘Jubli Intan 75 Tahun UMNO: Antara Realiti & Harapan Baharu’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Bekas perdana menteri itu juga turut berpesan agar penyatuan dalam kalangan pemimpin parti dapat diperkukuhkan lagi kerana mereka merupakan individu terpenting yang menjadi penggerak parti.

“Fokus kita adalah penyatuan dalam UMNO serta hal-hal rakyat, kita mesti bercakap tentang hal rakyat dan kita perlu buat persediaan.

“Sebab nasib parti kita ini siapa yang hendak tentukan? Sudah tentulah kita sebagai pemimpin tak kan orang lain.

“Orang di bawah ini… akar umbi kita dia kata kami ini tidak ada masalah yang ada masalah adalah yang berada di atas,” tegas beliau.

Tambah Najib lagi, semangat kesepakatan dalam kalangan ahli parti perlu ditonjolkan kerana ianya sebagai cerminan untuk meyakinkan rakyat bahawa parti ini mempunyai tunjang yang kukuh dalam membela nasib rakyat.

“Kita mesti melakukan usaha penyatuan UMNO ini dan mesti dinampakkan apa disebut sebagai pasukan UMNO atau team UMNO.

“Jadi ini yang mesti kita paparkan pada rakyat bahawa UMNO ini dalam keadaan kita ada solidariti dalam UMNO.

“Ini mesti kita lakukan kalau kita hendak menghadapi rakyat dalam masa pilihan raya bahawa ada berlakunya penyatuan dalam UMNO,” kata ahli Parlimen Pekan itu lagi. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.