Jubli Intan: Perjuangan UMNO Tak Luntur Terus Pertahankan Agenda Orang Melayu – Norshida

KUALA LUMPUR, 10 Mei – UMNO telah melalui satu tempoh perjuangan yang cukup panjang dalam arena politik tanah air khususnya dalam memperjuangkan agenda Melayu, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim.

Jelasnya, sejak awal penubuhan perjuangan UMNO hanya berpaksikan kepada terasnya iaitu kepentingan agama, bangsa dan tanah air dan tidak pernah sama sekali berganjak.

“Jika diimbau ke belakang, perjuangan kepimpinan terdahulu dalam melonjakkan parti ternyata adalah satu kebanggaan kerana sepanjang 75 tahun UMNO tetap setia membantu dan berkhidmat untuk rakyat.

“Malah selepas mengalami kekalahan di peringkat pusat pada 2018, perjuangan dan khidmat untuk orang melayu sama sekali tidak pernah pudar mahupun luntur dan begitu juga terhadap rakyat keseluruhan yang lain.

“Segenap pelusuk dan setitis rintihan membuatkan UMNO tidak lena sebaliknya terus bangkit menghulurkan bantuan agar rakyat yang memerlukan dibantu dan terus dibantu,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Ketua Wanita UMNO Segamat itu lagi, sepanjang menerajui negara selama enam dekad UMNO merupakan tonggak dan mempunyai peranan tersendiri bersama dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN).

“Alhamdulillah hasil yang dapat dilihat dan hasil yang dinikmati hari ini bukankah perjuangan UMNO bersama rakan-rakannya yang lain sebelum ini?

“Bukan untuk membangkitkan jasa namun hanya sekadar bingkisan perjuangan sebuah parti yang melangkau ke-75 tahun dalam arus politik tanah air dan ianya adalah satu kebanggaan dan juga satu kejayaan yang cukup bermakna sambutan Jubli Intan,” ujarnya.

Kata Norshida, bagi memastikan UMNO dominan dan relevan ahli parti perlu bermuhasabah untuk memastikan nilai perjuangan 75 tahun ini dapat disesuaikan dengan senario serta pembaharuan semasa.

“Dalam konteks inilah khususnya jentera Wanita UMNO, saya amat yakin malah pada masa yang sama cukup berbangga kerana daripada dulu hingga ke hari ini tetap setiap serta tetap bersama-sama dalam apa jua keadaan.

“Inilah kelebihan yang ada pada Wanita UMNO… Inilah jati diri yang ada pada Wanita UMNO. Kita bukan mahu bermegah apatah lagi mahu riak tetapi Wanita UMNO tetap ke depan seiring dengan perjuangan parti dan segagah 75 tahun perjuangan UMNO,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.