Ahli Parti Asas Pengukuhan UMNO, Terus Pertahan Agenda Perjuangan – Khaled Nordin


KUALA LUMPUR, 10 Mei – UMNO kekal relevan dan bertahan sehingga ke hari ini adalah kerana semangat dan kerja kuat ahli partinya untuk memastikan agenda perjuangan parti terus dipertahan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Jelasnya, dengan semangat juang ini UMNO telah berjalan begitu jauh dan melalui pelbagai cabaran jatuh dan bangun namun parti keramat ini masih gagah dan kukuh.

“Jadi dalam kesempatan menyambut Jubli Intan UMNO ini, saya ingin melahirkan penghargaan dan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua ahli-ahli UMNO di akar umbi.

“Mereka terus kekal setia dan sayang kepada UMNO dalam keadaan sama ada UMNO ada kuasa atau pun dalam keadaan jatuh… mereka tetap bersama dengan UMNO.

“Tanpa ahli maka sudah pasti UMNO tidak kekal seperti keadaannya seperti hari ini. Kerana kesetiaan merekalah kita mahu mempunyai UMNO yang masih kuat dan berjuang untuk masyarakat,” katanya bersempena dengan ulang tahun UMNO ke-75.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Pasir Gudang turut berharap sambutan hari raya Aidilfitri ini dapat diraikan dengan penuh kesyukuran di sebalik melalui kekangan pandemik COVID-19.

“Saya berharap hari raya tahun ini tidak menjejaskan hubungan dan sambutan walaupun mungkin sederhana ataupun mungkin tidak dapat menyambutnya secara besar-besaran, tetapi saya pasti kita masih bersyukur kerana kita masih meraikannya walaupun hanya sederhana.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada muslimin dan muslimat dengan harapan dan doa mudah-mudahan kita terus dipanjangkan umur, diberikan kesihatan yang baik dan kita dapat berhari raya walaupun dalam keadaan kita hadapi COVID-19,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.