75 Tahun Cukup Bermakna, UMNO Lalui Fasa Cabaran Demi Matlamat Masa Hadapan – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 10 Mei – 75 tahun adalah satu titik garis masa yang cukup bermakna bagi generasi terdahulu, kini dan juga generasi yang akan datang, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Jelas beliau, dalam masa 75 tahun iaitu selepas penubuhan UMNO maka negara ini mendapat pelbagai manfaat hasil kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu.

“Saya yakin generasi yang akan datang selepas saya telah mendapat banyak manfaat dan pulangan hasil kebijaksanaan pemimpin dan parti UMNO itu sendiri dan saya yang bercakap hari ini pun salah seorang daripada penerima manfaat kepimpinan UMNO.

“Dalam 75 tahun ini juga UMNO tentunya telah melalui pelbagai fasa, cabaran dan menimba satu ilmu ke dalam institusi parti dengan kebijaksanaan pemimpin parti yang tidak ada tolok bandingnya dari parti-parti lain.

“Saya mengharapkan parti UMNO keseluruhannya dapat melalui cabaran yang luar biasa yang kita hadapi saat 75 tahun. Sebelum ini cabaran-cabaran tidak sebesar sekarang tetapi sebelum ini kita belum ada kebijaksanaan yang wujud sepertimana wujudnya di sebabkan tempoh kematangan parti UMNO yang kita telah lalui,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga sependapat dengan pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang jelas mengatakan bahawa bukan sekadar 75 tahun yang hendak di sambut tetapi 25 tahun yang akan datang dan juga selepas itu.

“Saya mewakili generasi yang muda sikit dalam parti menyambut baik saranan Presiden kerana bagi saya kita toleh ke belakang, ambil sejarah sebagai kekuatan tetapi ‘target’ dan matlamat adalah masa depan serta masa depan juga bukan hanya untuk tiga, empat bulan akan datang dan juga bukan hanya untuk pilihan raya akan datang tetapi untuk generasi-generasi yang selepas ini.

“Saya telah mewarisi satu kepimpinan UMNO atau pun mewarisi satu kepimpinan negara Malaysia yang dipimpin oleh UMNO dengan cukup baik dan antara hasrat dalam hidup saya hendak mewariskan satu negara Malaysia yang lebih baik yang dipimpin oleh parti keramat ini. Selamat menyambut Jubli Intan UMNO.” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.