UMNO Tetap Mampu Berhadapan Dengan Cabaran Zaman – Dr Zambry


KUALA LUMPUR, 9 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyeru ahli UMNO untuk terus mengeratkan silaturahim dalam konteks memperkukuh parti demi kemaslahatan rakyat.

Beliau berkata demikian bersempena dengan dua perayaan yang begitu bermakna buat orang Melayu khususnya ahli UMNO.

“Sempena hari raya Aidilfitri ini marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan melakukan beberapa muhasabah dalam diri kita dan sesuai pula dengan perayaan Jubli Intan UMNO yang ke-75, yang sama-sama kita akan raikan dalam bulan Mei ini nanti.

“Marilah kita sama-sama mewujudkan hubungan silaturahim perkuatkan parti, perkukuhkan hubungan sesama kita kerana kekuatan sesebuah organisasi dalam konteks UMNO adalah bergantung kepada kekuatan seluruh anggotanya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata UMNO sudah melalui zaman kegemilangan dan juga zaman yang penuh dengan cabaran setelah mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Jelasnya, meskipun begitu banyak ujian yang dilalui ianya tetap juga mampu diatasi dengan semangat dan kekuatan ahli parti.

“Saya percaya UMNO akan tetap mampu berhadapan dengan cabaran zaman dan UMNO akan kembali semula dengan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negara.

“Asasnya adalah perpaduan, kesatuan yang perlu kita bina dalam kalangan ahli-ahli kita. Bagaimana kita melayari sebuah perjuangan di dalam parti ini iaitu antaranya bagaimana kita membina ketahanan dalam diri kita.

“Ketika mana kita menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang yang silih berganti daripada segenap segi dalam kita memastikan UMNO ini sentiasa berada di persada politik nasional,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline