Tingkah Laku Pengetua Memalukan, Tidak Profesional… KPM Perlu Ambil Tindakan Segera – Norliza

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Wanita UMNO Pulau Pinang membidas sekeras-kerasnya tindakan dan tingkah laku seorang pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam yang memperlekehkan pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam yang mendedahkan gurauan seks dalam pembelajaran dan diugut dengan ancaman dirogol.

Jelas Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim, tingkah laku dan tindakan pengetua sekolah berkenaan dalam komen hantaran yang dimuatnaik Facebook di bawah nama “Aimanaizad Sarimahmohamednor” yang dikatakan konon miliknya sememangnya tidak melambangkan keintelektualan pengetua terbabit.

“Malahan kami berasa hairan di sebalik tindakan yang melindungi dan bertanggungjawab ke atas pelajar tersebut, pengetua terbabit ini pula dikatakan bertindak mahu menggantung persekolahan Ain Husniza,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hendaklah bertindak tegas dengan mengambil tindakan displin yang sewajarnya terhadap kelakuan yang tidak profesional daripada pengetua berkenaan selain guru yang terlibat dalam gurauan seksual itu.

“Kami juga menggesa KPM menyelesaikan siasatan dengan kadar segera dalam isu gurauan seksual dan ancaman dirogol ini serta memastikan pelajar terbabit mendapat pembelaan sewajarnya termasuk tidak digantung atau dibuang dari sekolah.

“KPM perlu mengeluarkan satu pemakluman yang rasmi dalam siasatan ini sebagai satu mesej jelas bahawa sebarang tingkah laku yang memperlekehkan martabat wanita tidak wajar diterima langsung dalam sistem pendidikan negara.

“Sehubungan itu, kami berdiri teguh bersama Ain Husniza dalam mendepani isu ini malahan kami bersedia menawarkan khidmat peguam sekiranya perlu dalam mempertahankan hak Ain Husniza sebagai seorang pelajar dan wanita,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.